suria

‘Doh-Dohla Nangis Ibu’

Zahid (kiri) ketika bertemu dengan keluarga arwah. Gambar kecil: Abdul Hakim.

DUNGUN: "Doh-dohla ibu. Jadi-jadilah menangis," demikian pujukan anak bongsu Allahyarham Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, apabila melihat ibu, Zarina Abdul Rahman, 37, masih menangisi pemergian bapanya.

Walaupun baru berusia 3 tahun, namun Muhammad Hazim Abdul Hakim memahami bapanya sudah pergi buat selamanya.

Abdul Hakim bersama rakan setugas, Koperal Suresh Ithchang, 36, maut dalam nahas jalan raya di Kemaman ketika mengikuti konvoi latihan dalam perkhidmatan menunggang motosikal besar jarak jauh di Mersing, Johor.

Zarina berkata, insiden itu memberi tamparan hebat kepadanya menyebabkan dia sedih setiap kali terpandang barangan arwah.

“Bila lihat saya terlalu kerap menangis, anak kecil saya cuba memujuk. Walaupun mengerti bapanya sudah tiada dan memujuk saya, tapi perangai dan kelakuannya juga menunjukkan perubahan.

“Dia paling rapat dengan arwah dan setiap malam tidur di lengan bapanya. Sejak insiden itu, dia sukar tidur dan meracau-racau.

"Bila dia menangis dan meracau, saya beri kain pelekat arwah yang dipakai ketika kali terakhir solat Subuh di rumah. Barulah dia boleh tidur dan hanya bau itu jadi pengubat rindu,” katanya ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke rumah keluarganya di Kampung Darat, Rajawali, di sini, Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam.Menurutnya, walaupun ujian diterima amat berat, namun dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

Zarina menyuap makanan kepada Muhammad Hazim.

“Sebelum arwah mengikuti konvoi, sudah banyak perubahan berlaku, tapi kita sebagai manusia biasa tidak memahami petanda itu.

“Sebelum bertolak, arwah pesan supaya jaga anak-anak dengan baik. Seminggu sebelum kejadian pun kami suami isteri tidak lena tidur. Arwah juga bersikap pelik apabila memeluk saya hingga ke pagi ketika tidur, tapi saya tidak sangka pula itu pelukan terakhir,” katanya.

Kunjungan TPM ubat kesedihan

Zarina berkata, kunjungan pemimpin negara ke rumahnya sedikit sebanyak mengubat kesedihan ditanggung dan dia amat berterima kasih di atas keprihatinan itu.

“Terima kasih banyak-banyak. Saya terharu sehingga tidak terucap dengan kata-kata. Alhamdulillah, kehadiran itu menjanjikan kebajikan saya, anak-anak dan ahli keluarga akan dibela. Urusan tuntutan insurans juga akan disegerakan demi kebajikan anak-anak.

“Saya harap semua pihak memberi sokongan moral memandangkan saya perlu menggalas tanggungjawab besar. Saya buntu memikirkan kehidupan kami selepas ini, lebih-lebih lagi anak sulung saya bersama arwah yang berusia 9 tahun adalah OKU pembelajaran.

"Arwah seorang suami yang baik dan penyayang serta sepanjang hidupnya melayan kami anak -beranak dengan baik,” katanya.

Bangga anak meninggal dunia ketika bertugas

Sementara itu, bapa arwah, Samingan Zin, 84, tidak dapat menahan kesedihan apabila ditanya mengenai anaknya itu.Katanya, dia bangga kerana anaknya meninggal dunia ketika menjalankan tugas demi negara.

Samingan terlalu sedih ketika menceritakan perihal arwah.

“Walau macam mana keadaan sekalipun, kita kena reda. Saya berdoa dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Perginya ketika berjuang dan tugas untuk negara.Kali terakhir saya bertemunya ketika Aidiladha baru-baru ini. Dia memang anak yang sangat baik dan kerap menghubungi saya melalui telefon kerana saya tinggal di Selangor,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu bersama tiga anak berusia 3 hingga 9 tahun, manakala empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain