suria

Isu Bugis: Dua Laporan Polis Terhadap Mahathir

PONTIAN: Dua laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyentuh tentang masyarakat Bugis sewaktu menyampaikan ucapan pada Himpunan Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi  di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bugis (OGi) Johor, Md Sah Daeng Matatah berkata Persatuan Bugis Johor telah membuat laporan di Batu Pahat kira-kira jam 3 petang, Isnin.

“Selain itu, Persatuan Bugis Johor cawangan Kota Tinggi juga telah membuat laporan polis. Kita menjangkakan jumlah laporan polis akan meningkat terutama dari peringkat cawangan Persatuan Bugis Johor.

“Ini kerana berdasarkan maklum balas yang diterima rata-rata ahli menyatakan rasa tidak puas terhadap kenyataan bekas perdana menteri kerana mengaitkan soal maruah orang Bugis ,”katanya kepada Sinar Harian, Selasa.

Md Sah berkata, sebagai seorang yang berilmu, Mahathir sewajarnya tidak bercakap mengenai sesuatu perkara yang tidak pasti.

“Jika tidak tahu tentang Bugis baik jangan disebut sebab ia soal maruah kami. Orang Bugis yang berada di negara ini bukan sahaja duduk di Johor tetapi sampai ke Sabah dan Sarawak ada orang Bugis,” katanya.

Katanya lagi, terdapat kira-kira 7,000 ahli Persatuan Bugis Johor merangkumi tujuh cawangan iaitu di Pontian, Benut, Kota Tinggi, Batu Pahat, Johor Bahru, Simpang Renggam dan Pasir Gudang.

Sementara itu, bagi bekas Pengerusi Persatuan Bugis Johor cawangan Pontian, Lokman Talib menyifatkan perkataan lanun Bugis yang disebut Tun Mahathir sebagai keterlaluan.

Jelasnya, kenyataan tersebut amat mengguris hati orang Bugis yang telah bersama-sama memajukan negara sejak dari dahulu lagi.

“Kenapa tidak suka dengan seseorang itu, bangsa dan keturunannya disebut-sebut, malah dikatakan pula lanun.

“Perlu diingatkan ramai Sultan Melayu di negara ini berketurunan Bugis. Jadi saya minta supaya dia ( (Tun Mahathir) segera buat permohonan maaf sebab perkara ini sudah melibatkan maruah seluruh orang Bugis,” katanya.

Mahathir, Bugis

Artikel Berikut

Artikel Lain