suria

Jamil Khir, KP Jakim Tunggu Tarikh Menghadap Sultan Johor

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha sedang menunggu tarikh untuk menghadap Sultan Johor.

Beliau berkata, surat telah dihantar kepada Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memohon untuk menghadap baginda bagi menjelaskan isu berkaitan penceramah bebas, Zamihan Mat Zin.

"Kami telah menghantar untuk tujuan itu dan masih menunggu perkenan Tuanku untuk menghadap baginda," katanya ketika ditemui di sini, Selasa.

Baru-baru ini tular rakaman video kenyataan Zamihan yang didakwa berkata adalah salah untuk baginda melarang operasi dobi khusus untuk umat Islam di Johor.

Menerusi video sama, Zamihan yang bertugas dengan Jakim dan presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) turut melabel masyarakat Cina sebagai pengotor.

Selepas video berkenaan tular, Sultan Ibrahim berkata, baginda akan mengarahkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) untuk tidak lagi berurusan dengan Jakim.

Othman secara serta merta mengeluarkan kenyataan mengenai hasratnya dan Jamil Khir untuk menghadap Sultan Ibrahim.

Jamil Khir juga memaklumkan mengenai Jakim akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat Zamihan yang kini disiasat mengikut Akta Hasutan.

Sultan Johor, Jakim, Jamil

Artikel Sebelum

'Hooligan' Perak Mengaku Salah

Artikel Berikut

Artikel Lain