suria

Mayat Dengan Kesan Tetakan Dipercayai Warga Asing

Mangsa dipercayai warga asing yang berasal dari negara Asean. - Gambar hiasan/ Reuters

BUTTERWORTH: Polis percaya mayat lelaki yang ditemui dengan kesan kelar dan tetakan di dalam semak berhampiran  Sungai Jarak, Kampung Paya Tok Akil di Tasek Gelugor, dekat sini pada Sabtu lepas adalah milik warga asing.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata hasil siasatan dan laporan bedah siasat mendapati terdapat parut suntikan vaksin Bacille calmette guerin (BCG) pada lengan kanan mangsa, namun ia dipercayai bukan seperti dimiliki warga tempatan.

"Pada mulanya polis menyangka mayat itu lelaki tempatan kerana terdapat parut suntikan BCG tetapi hasil bedah siasat mendapati ia berbeza dengan warga tempatan yang memiliki parut suntikan di sebelah kiri.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai warga asing yang berasal dari negara Asean," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Katanya polis masih menjalankan siasatan lanjut kes itu termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan dan tidak menolak kemungkinan suspek masih berada di sekitar negeri ini. - Bernama


mayat warga asing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain