suria

Anggota Peronda PLUS Maut Dirempuh Lori

Seorang anggota peronda PLUS maut dalam nahas yang membabitkan kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya dan sebuah lori di Kilometer 231, Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara petang Isnin. Foto Bernama

SEREMBAN: Seorang anggota peronda Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) maut manakala rakannya cedera dirempuh lori satu tan ketika sedang mengutip kon di tepi lebuh raya PLUS di Km 231.6 berhampiran susur keluar Pedas-Linggi arah utara petang Isnin.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kemalangan kira-kira pukul 3.56 petang itu berlaku apabila lori tersebut yang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh mangsa dan juga kereta peronda PLUS menyebabkan kereta itu terbalik ke dalam gaung manakala lori terbabit terbabas ke tebing jalan.

"Mangsa Mohd Nazri Aziz, 28, tersepit di tayar belakang sebelah kiri lori tersebut dan maut di lokasi kemalangan manakala rakannya mengalami cedera ringan.

"Pemandu lori terbabit patah kaki kiri manakala kelindannya pula cedera di muka,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Mukhlis berkata seramai tujuh anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tampin dibantu enam anggota dan seorang pegawai dari BBP Seremban terlibat membantu mangsa kemalangan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat manakala rakan mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini.

Tinjauan Bernama mendapati berlaku kesesakan jalan raya sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain