suria

Rebut Ganjaran Sekali Umrah Di Masjid Quba’

ASSALAMUALAIKUM. Jemaah haji dan umrah tentu sekali tidak mahu melepaskan peluang untuk menziarahi tempat bersejarah di Makkah dan Madinah setiap kali berkunjung ke kota suci yang menjadi kebanggaan umat Islam sejagat.

Namun lazimnya, sebahagian besar jemaah lebih bergantung pada jadual perjalanan yang ditetapkan oleh agensi pengendali umrah dan haji. Hanya segelintir jemaah yang akan merebut peluang untuk menziarahi tempat bersejarah lebih daripada sekali, khususnya di Madinah.

Di Madinah, tempat ziarah yang sering dikunjungi dan termasuk di dalam itinerari adalah Masjid Quba’, Jabal Uhud dan makam syuhada’ Uhud serta ladang tamar. Selalunya, jemaah dinasihatkan agar berwuduk di hotel penginapan dan berusaha mengekalkannya sehingga tiba di Masjid Quba’ dan bersolat sunat dua rakaat.

Masjid Quba’ adalah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganajarannya adalah satu pahala umrah.

Masjid Quba’ dibina pada tahun 1 Hijrah atau 622 Masihi. Ia terletak di sebelah tenggara kota Madinah dan hanya kira-kira lima kilometer dari Masjid Nabawi. Ia menjadi lokasi pertama dalam setiap ziarah luar di kalangan jemaah haji dan umrah.

Justeru, bagi mereka yang mahu merebut ganjaran sekali umrah tidak melepaskan peluang keemasan untuk berkunjung ke Masjid Quba’ saban hari. Ketika menunaikan ibadat haji baru-baru ini, saya dapati ramai juga jemaah yang seringkali ke Masjid Quba’ untuk merebut peluang berkenaan.

Lazimnya, ketika menunaikan haji, masa diperuntukkan di Madinah adalah di antara lima hari hingga 10 hari. Rugi jika tidak dimanfaat dengan kekerapan ziarah ke makam Rasulullah, Raudah dan Masjid Quba’.

Untuk ke menziarahi makam dan Raudah, anda terpaksa berhadapan dengan ramai jemaah lain tetapi untuk ke Masjid Quba’ , lebih senang. Pengangkutan awam yang mudah diperoleh di depan hotel penginapan menyebabkan tiada masalah untuk jemaah berbuat demikian.

Pengangkutan awam tidak semestinya teksi berwarna putih tetapi banyak teksi sapu yang boleh ditemui di sekitar depan hotel dan pemandu kadangkala menyebut ziarah…ziarah…ziarah.

Pastikan anda bertanya dulu dengan pemandu kerana ada juga yang menyediakan khidmat ziarah ke tempat lain, termasuk Uhud.

Tiga jemaah sebilik saya antara yang paling sering ke Masjid Quba’ dan saya turut mengikut mereka dengan pasangan masing-masing apabila terluang. Justeru, apabila dipelawa oleh Datin Dr Wan Roslina untuk ke Masjid Quba’, saya menurut.

Sebelum itu, beliau bercerita perihal suaminya, Datuk Yaacob yang gemar ke Masjid Quba’ saban hari. Saya tersenyum dan mengatakan rajin sungguh suaminya berulang alik dari Masjid Nabawi ke Masjid Quba’ untuk merebut ganjaran berkenaan.

Justeru, pada suatu petang selepas solat Asar di Masjid Nabawi, kami berkumpul di depan pintu 16 sebelum berjalan ke kawasan sekitar pintu 6 untuk mencari kenderaan.

Sejurus memperoleh sebuah kenderaan tujuh tempat duduk, kami mula tawar menawar mengenai tambang.

Mulanya dia mahukan SR50 tetapi setelah ditawar beberapa kali, pemandu bersetuju dengan bayaran SR20 dengan jumlah jemaah seramai lapan orang. Selepas menunaikan solat sunat di dalam Masjid Quba, kami berjalan keluar untuk mendapatkan kenderaan yang mudah ditemui di sekitar luar masjid.

Sekali lagi tawar menawar dengan seorang pemandu warga Pakistan yang kami temui berhampiran kawasan ladang tamar, namun, kali ini lebih mudah kerana pemandu setuju dengan harga diminta iaitu SR20.

Jika kaki masih mampu melangkah jauh dan kesihatan mengizinkan, jarak kira-kira 400 meter di antara pintu 16 hingga tempat mendapatkan kenderaan tidak menjadi masalah tetapi tidak sesuai sekiranya jemaah uzur.

Bagaimanapun, usah ragu kerana jemaah masih boleh mengambil kenderaan di depan hotel penginapan mereka dan tidak perlu berjalan jauh untuk mendapatkan pengangkutan tetapi harganya sedikit tinggi iaitu di antara SR80 hingga SR100 pergi balik.

Namun, hakikatnya masih murah kerana jemaah tidak perlu berjalan jauh apatah lagi jika keadaan lutut dan kaki tidak mengizinkan.

Sehari sebelum pulang ke tanah air, sekali lagi Datuk Yaacob dan Datin Dr Wan Roslina mempelawa saya ke Majsid Quba’. Saya tidak lepaskan peluang itu dan kenderaan diambil di depan hotel penginapan kami iaitu Millenium Aqeeq.

Datuk Yaacob mengambil keputusan menaiki kenderaan di depan hotel sebab kasihan pada seorang lagi jemaah yang turut bersama-sama kami iaitu Hajah Jahara yang berusia hampir 70 tahun.

Di Masjid Quba’, jemaah juga berpeluang membeli tamar ajwa dan pelbagai makanan serta buah-buahan kering yang lain dengan harga berpatutan.

Justeru, jika anda mahu menunaikan ibadat umrah yang akan bermula November ini, rebutlah peluang untuk berkunjung ke Masjid Quba’ lebih daripada sekali untuk merebut ganjaran pahala satu kali umrah.

Memetik kata-kata Datuk Yaacob pada Hajah Jahara: “Makcik tak perlu tawaf dan saie tetapi sudah dapat pahala satu kali umrah kalau pergi ke Masjid Quba’ dalam keadaan berwuduk dan solat dua rakaat di masjid itu.”

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Masjid Quba', Wan Roslina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Niaga 30 Tahun Kerana Belalang

Artikel Lain