PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat laporan bahawa terdapat pengiklanan untuk menjual data pengguna yang disyaki diperoleh secara tidak sah. Dalam kenyataan pada Jumaat, SKMM berkata, sebagai langkah pencegahan pihaknya telah meminta pentadbir laman sesawang lowyat.net untuk menurunkan iklan penjualan tersebut. "Pentadbir laman sesawang tersebut telah memberi kerjasama menurunkan iklan serta artikel yang berkaitan," katanya. Suruhanjaya itu juga menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu tersebut sehingga pihak berkuasa melengkapkan siasatan. - Bernama