GEORGE TOWN: Isu pembangunan kawasan lereng bukit di negeri ini akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bulan depan bagi menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP menghentikan segera projek-projek pembangunan di lereng bukit. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Farid Saad berkata, projek-projek pembangunan berkenaan perlu dihentikan bagi membolehkan kajian terperinci dijalankan terlebih dahulu untuk memastikan ia selamat daripada kejadian tanah runtuh. "Semua pembangunan di lereng bukit perlu dihentikan serta merta sehingga pihak pemaju menyediakan pelan penyuraian air dan pelan pengukuhan tanah lereng bukit yang berkait secara langsung dengan cadangan pembangunan. "Saya telah menghantar cadangan usul itu kepada speaker dewan dan berharap speaker meluluskannya untuk dibentang dan dibahaskan pada sidang dewan akan datang November ini," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad. Muhammad Farid ditemui ketika meninjau keadaan di kawasan tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai di Tanjung Bungah di sini, yang menyebabkan 11 pekerja projek pembinaan rumah mampu milik itu tertimbus. Setakat ini tujuh ditemukan mati manakala usaha mencari dan menyelamat empat lagi giat dijalankan. Turut meninjau keadaan di kawasan itu Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid yang juga wakil rakyat kawasan Teluk Air Tawar. Muhamad Farid berkata, usul itu bukan pertama kali dibawa ke sidang dewan, malah wakil daripada DAP sendiri iaitu Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu telah beberapa kali membangkitkannya namun kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan. "Kerajaan negeri seolah-olah pekak dan mengalami sindrom penafian semata-mata sebab itu mereka langsung tidak peduli bantahan daripada kami (wakil rakyat BN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk yang membantah pembangunan projek di lereng bukit. "Mereka menganggap tidak serius, tetapi semalam kita sendiri lihat alam marah pada kita," katanya. Beliau berkata, semua pembangunan di tanah bukit pada ketinggian melebihi 75 meter juga sepatutnya tidak dibenarkan dalam keadaan apa sekali pun dan sebarang kelulusan untuk pembangunan hendaklah selaras serta mematuhi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020. Sementara itu, Ketua Pemuda BN negeri, Hng Chee Wey berkata, kerajaan negeri seharusnya mengkaji semula garis panduan kebenaran kepada pemaju untuk melakukan projek pembinaan di kawasan lereng bukit. "Ini bukan sahaja soal over-development, tapi ini kerana kejadian ini telah mengorbankan banyak nyawa, walaupun mereka bukan warganegara. "Pada masa yang sama tahap keselamatan di tapak-tapak projek pembinaan ketika ini perlu dikenal pasti bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini. Ketua Bahagian MCA Bukit Bendera, Tang Heap Seng pula meminta kerajaan negeri menjalankan siasatan penuh berkaitan insiden itu dengan segera. "Kami sedia untuk membantu operasi mencari dan menyelamat dalam apa jua cara yang diperlukan...dalam saat seperti ini fahaman politik harus diketepikan," katanya. - Bernama