GEORGE TOWN: Mayat sembilan mangsa yang tertimbus di dalam tragedi tanah runtuh di kawasan tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada Sabtu, dijumpai setakat ini. Mayat kesembilan seorang warga Bangladesh dikenali sebagai Rahaman Abdur berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang pada 8.38 malam. Sehingga pukul 9 malam, sembilan mayat sudah dikenal pasti dan dibawa keluar iaitu tiga warga Myanmar, Yunus Nazir Huson, Muhammad Elyas Mustak dan Rahmatullah Mohd Sidiq; tiga warga Bangladesh Hossen Mia, Nur Alam dan Rahaman; dua warga Indonesia Hosrin Sharif dan Erwin Salis serta seorang rakyat Pakistan Raza Ali. Dua lagi mangsa seorang rakyat tempatan Yuan Kouk Wern, 27, dan seorang warga Bangladesh Muhammad Monirul Islam belum dijumpai. - Bernama