KAJANG: Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi dan Ketua Operasi unit itu Ali Salimin dibawa ke Mahkamah Kajang pagi ini untuk didakwa atas pertuduhan menceroboh dan perbuatan khianat. Yusuf dan Ali dibawa menaiki kenderaan polis dengan diiringi tiga kenderaan polis lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 9.35 pagi Selasa. Menurut Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamudin Hashim, kedua-dua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang untuk pertuduhan kes di bawah Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan perbuatan khianat selepas menyerah diri kepada polis di sini pagi Selasa. "Apa yang berlaku tadi adalah pihak polis mengambil cap jari dan gambar mereka serta teruskan proses pendakwaan. "Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan khianat dan menceroboh. Kita akan tengok apa kandungan pertuduhan dan berharap mendapat jaminan yang baik dan dibebaskan hari ini" katanya ketika ditemui pemberita di IPD Kajang. Dilaporkan, pada 10 Julai lepas, kira-kira 30 pemilik kereta dengan beberapa aktivis PPIM didakwa memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat itu dengan tujuan mengambil semula kenderaan masing-masing sehingga berlaku kekecohan. Susulan itu, seorang pengurus eksekutif syarikat terbabit turut membuat laporan polis pada hari sama. - Bernama