suria

Hakim, Tertuduh Lawat Lokasi Bunuh Jong-nam

SEPANG: Hakim dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, melawat tempat kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, Selasa.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azmi Ariffin bersama pihak pendakwaan dan pembelaan tiba di Balai Pelepasan klia2 kira-kira 9.45 pagi.

Tertuduh iaitu Siti Aisyah, 25, warga negara Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga negara Vietnam juga hadir dan dibawa ke klia2 dengan memakai jaket kalis peluru sambil diiringi pasukan polis.

Lawatan itu bertujuan untuk melihat lokasi kejadian pembunuhan Kim Chol yang didakwa mati selepas disapu dengan racun agen saraf VX.

Ini berikutan permohonan pihak pembelaan untuk melawat tempat kejadian bagi memudahkan mereka mengenal pasti lokasi yang dirakam dalam beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan mangsa dan dua tertuduh wanita itu.

Lawatan dimulakan dengan melawat kios daftar masuk iaitu tempat Kim Chol yang didakwa disapu dengan racun VX di Tingkat 3.

Pihak yang terlibat juga melawat Klinik Perubatan Menara di Tingkat 2, di mana Kim Chol mendapatkan rawatan selepas dipercayai terkena racun VX.

Semua pihak yang terlibat dikawal ketat oleh pasukan keselamatan termasuk anggota pasukan petugas khas jenayah terancang (Stafoc) Bukit Aman.

Kira- kira 40 orang media tempatan dan asing berkumpul di klia2 sejak 6 pagi bagi membuat liputan kes itu.

Kedua-dua wanita warga asing itu didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol di klia2 pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Kim Jong-nam, KLIA2.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain