PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap penulis blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) berhubung artikelnya baru-baru ini. "Ya, saya buat laporan polis terhadap RPK pada 22 Oktober lalu kerana dakwaan fitnah jenayah," kata Apandi menerusi pesanan teks pada Rabu. Artikel-artikel tersebut melibatkan pelbagai tuduhan mengenai rasuah, yang dinafikan Apandi sekeras-kerasnya. Raja Petra turut menulis mengenai kononnya satu pertemuan pada 2015 antara hakim-hakim kanan dan seorang ahli politik mengenai dakwaan untuk menjatuhkan Kerajaan. "Saya serius akan menyaman dan sedang berunding dengan peguam di United Kingdom. "Ini tidak lain hanya berita palsu yang dibuat dengan niat jahat," kata Apandi.