KOTA BHARU: Berpura-pura bertanya mengenai lauk ayam kampung, tiga lelaki bersenjatakan parang kemudian merompak sebuah kedai makan di Kampung Kubang Tin, Melor, Kota Bharu, di sini, pagi Selasa. Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, pembantu kedai warganegara Myanmar berusia 34 tahun cedera ditetak perompak. Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum itu, mangsa bersendirian di kedai makan berkenaan sebelum tiga lelaki masuk ke dalam kedai bertanyakan tentang ayam kampung. “Sejurus kemudian seorang daripada suspek tiba-tiba mengeluarkan satu objek didakwa menyerupai pistol dan meminta mangsa menyerahkan barang berharga. “Pada masa sama, seorang lagi suspek mengeluarkan parang dan cuba menetak mangsa namun mangsa menghalang mengakibatkan tangan kanannya cedera,” katanya. Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama barang kemas iaitu cincin dan rantai emas kepunyaan isteri mangsa. “Mangsa mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II sebagai pesakit luar dan membuat laporan di Balai Polis Melor, kira-kira jam 7.20 pagi. “Polis kini mengesan suspek bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian