JERLUN: Seorang lelaki warga emas yang sedang melakukan upacara keagamaan di perkarangan Tokong Cina Kuala Sanglang, Ayer Hitam, di sini Isnin, dengan duduk di atas kawah pengukus, maut selepas terkena serangan jantung. Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam membabitkan mangsa, Lim Ba, 68, yang terkena serangan jantung ketika sedang duduk di atas papan yang diletakkan di atas kawah besi berisi air panas sebelum seluruh tubuhnya ditutup dengan tudung pengukus. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata sebelum itu mangsa pergi ke tokong itu untuk melakukan upacara keagamaan bersempena perayaan “tokong sayur”. "Siasatan kita mendapati mangsa duduk di atas papan yang diletakkan di atas kawah besi berisi air panas yang sedang dimasak menggunakan kayu api dan seluruh badan mangsa ditutup dengan tudung pengukus. "Seorang daripada anak mangsa dan penonton yang hadir kemudian ternampak tudung pengukus itu bergerak-gerak dan sebaik dibuka, mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Mohd Ismail berkata Lim bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, badan, kaki dan tangan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat. “Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan serangan jantung dengan kesan melecur tahap dua dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. Sementara itu, anak mangsa, Lim Kang Huai, 32, berkatabapanya melakukan upacara itu setiap kali tibanya hari perayaan tersebut sejak lebih 10 tahun yang lalu. "Bapa saya menjalani pembedahan jantung tahun lalu. Saya tidak sangka upacara kali ini adalah terakhir buatnya,” katanya. Tambahnya, bapanya pernah melakukan upacara sama selama 75 minit di sebuah tokong di Tangkak, Johor, empat tahun lalu dan tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA