suria

Yakin Atau Tidak, Biar Yang Sedang-Sedang Saja

ORANG tua-tua kata, jika buat sesuatu biar yakin, atau jika tidak, pasti ia takkan menjadi. Tetapi jangan pula sampai terlebih yakin, kerana ia juga memakan diri. Betul? Betullah tu.

“Esok MC?” tanya Norman sewaktu dia memandu membawa aku ke klinik seusai kerja.

“Kalau dapat,” jawab aku. Entah kenapa tiba-tiba rasa tidak yakin pula, walau dalam hati meronta-ronta hendak cuti sakit.

“Kalau itu doktor tak bagi memang dia tidak ada rasa simpati,” balas Norman.

Ada sebab mengapa Norman membuat andaian sebegitu. Kerana di Doha ini perubatan adalah sesuatu benda yang mewah.

Dengan cajnya yang mahal, ditambah tiada faedah insurans perubatan untuk pekerja dari kebanyakan syarikat di sini membuat kau kadang-kadang perlu berfikir lima ke enam kali untuk ke klinik.

Dan selalunya jalan termudah  - jika perlu sangat - pergi sahaja ke hospital Hamad. Ia ialah hospital kerajaan di sini.

Aku pernah sekali sahaja ke sana. Taubat tidak mahu lagi. Sebabnya dari pukul 7 pagi aku tiba, pukul 8.30 malam baru aku pulang ke rumah. Masyarakat yang ada di situ tak payah ceritalah. Nanti kau kata aku rasis pula.

Aku tiba di Klinik Al-Naseem pada pukul 6.45 petang. Norman menurunkan aku di situ. Kebetulan klinik ini paling dekat dengan rumah. Jadi Norman tidak perlu tunggu aku. Apabila selesai nanti aku boleh pulang dengan berjalan saja.

“Orang ramai, kau masih mahu berjumpa doktor juga?” tegur perempuan berbangsa India yang menguruskan pendaftaran aku.

“Ya,” jawab aku pendek. Dia menghulurkan kertas kecil empat segi yang tertera nombor giliran aku. 44. Aku lihat di bawahnya, nombor terkini ialah 19.

“Naik tinggat satu, bilik nombor 27,” pesan dia.

Orang begitu ramai sewaktu aku tiba di pekarangan bilik nombor 27. Terdapat beberapa barisan kerusi disediakan untuk kegunaan pesakit sementara menunggu giliran. Aku kemudian duduk dan memerhati keadaan.

Ada tiga bilik beroperasi malam itu dengan masing-masing pada nombor 27, 28 dan 30. Tidak semua bermasalah seperti aku rasanya. Kerana dua klinik adalah klinik biasa dan satu adalah untuk dermatologi.

Masa berlalu dengan sangat perlahan. Seperlahan nombor pesakit yang seakan merangkak. Aku sudah mula mengantuk dan lapar. Beban kerja siang tadi mula memberikan impak.

Aku menghidupkan skrin telefon bimbit untuk mengetahui waktu. Terbeliak mata aku melihat jam sudah menunjukkan pukul 8.45 malam. Selalunya waktu ini aku sudah selesai makan dan bersiap untuk tidur.

Penyesalan mula menyelinap ke setiap ruang hati dan fikiran. Tak apa, bisik hati aku. Dapat cuti sakit ni, dia memujuk. Esok boleh bangun lambat.

Sementara menunggu aku merangka pelbagai alasan untuk membolehkan aku mendapat cuti sakit, tahap keyakinan aku waktu itu sangat tinggi seperti di puncak menara.

Di Malaysia tidak pernah ada masalah untuk aku mengambil cuti sakit. Di Doha ni apalah sangat ye tak?

Pukul 10 malam baru selesai segala urusan. Aku keluar dari klinik dengan perasaan bengang tidak terkira. Lemah segala lutut untuk berjalan pulang yang aku kira akan mengambil masa selama 15 minit.

Nak tak nak aku berjalan juga perlahan. Otak aku tidak habis memainkan semula senario yang berlaku di dalam bilik klinik sebentar tadi.

“Boleh cuti sakit esok?” tanya aku.

“Oh tak perlu, macam boleh kerja lagi tu,” balas doktor.

Tiga kali aku mintak cuti tiga kali dia menolak. Hampeh betul. Siap bagi balutan lagi untuk aku balut sendiri esok.

“Teksi, parey?” tegur satu mamat India yang sedai menunggu di tepi jalan.

Aku menjeling dia dengan mata yang penuh api sambil berlalu pergi. Orang tua-tua kata, jika buat sesuatu biar yakin jika tidak pasti ia tidak menjadi. Tetapi jangan sampai terlebih yakin, kerana ia juga memakan diri. Betul? Betullah tu.


Al-Naseem, Hamad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain