suria

Didenda RM1,000 Cakar Muka Adik

Tertuduh (kiri) dikawal polis selepas menjelaskan denda. Foto Sinar Online

KOTA BHARU: Seorang wanita didenda RM1,000 mahkamah majistret di sini, Rabu, kerana kesalahan mencakar muka adik perempuannya hingga berdarah dalam perbalahan, dua minggu lalu.

Majistret, Kamarul Hasyime Rosli mengenakan denda itu selepas tertuduh, Zarina Setapa, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Zarina mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya, Nurul Asyikeen, 29, dengan mencakar muka hingga meninggalkan kesan calar dan luka di Lorong Tengku Mohani, Jalan Kuala Besar di sini, pada pukul 7.25 pagi, pada 11 Oktober 2017.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon supaya hukumannya diringankan dengan alasan dia sudah insaf dengan perbuatannya itu, namun Sharifah Amirda Shasha mencadangkan hukuman yang boleh memberi pengajaran kerana sebagai seorang kakak, tertuduh sepatutnya melindungi ahli keluarga.

Dalam kejadian lalu, berlaku perbalahan antara mereka dan ia berpunca apabila Zarina berang setelah Nurul Asyikeen yang dikatakan telah membebel kepada anak lelakinya berhubung satu kes lain membabitkan bapa kanak-kanak itu serta laporan polis.

Tertuduh pergi bertanya kepada Nurul Asyikeen sebelum bertindak menarik kepala mangsa serta mencakar muka hingga mengalami kesakitan di kepala, luka di pipi dan calar di muka.

Mahkamah memerintahkan Zarina membayar denda RM1,000 atau penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal membayarnya.

Dia kemudian dibebaskan selepas menjelaskannya denda itu. - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lagi Resort Indah Khabar...

Artikel Lain