GELANG PATAH: Kerajaan negeri Johor mengarahkan sebuah ladang ternakan ayam dan sebuah kilang memproses baja najis ayam di Kota Tinggi ditutup. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu berikutan kedua-dua premis tersebut dikenal pasti menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Johor. Beliau berkata, keputusan untuk menutup premis berkenaan dibuat susulan cadangan lapan agensi dalam satu mesyuarat khas pada Ahad. Dalam mesyuarat tersebut, siasatan yang dijalankan mengaitkan ladang ternakan ayam dan kilang memproses baja najis ayam itu dengan kandungan ammonia yang tinggi ke sungai. "Perkara yang paling penting sekarang adalah meneruskan bekalan air kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan itu," kata Khaled kepada pemberita pada Ahad. Dilaporkan kandungan ammonia yang tinggi dikesan di Sungai Johor pada Sabtu sehingga memaksa penutupan loji rawatan air Sungai Johor, Semanggar dan Tai Hong yang membekalkan air kepada 1.8 juta pengguna di selatan Johor.