suria

Nak Cuci Van Jenazah, Keranda?

Seorang bapa tujuh anak yang mengusahakan perkhidmatan mencuci kereta menawarkan khidmat mencuci van jenazah secara percuma. Foto Facebook Azlan Lan

PETALING JAYA: Seorang bapa kepada tujuh anak ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja daripada ‘makan gaji’ dengan mengusahakan perkhidmatan mencuci kereta di Taman Medan Baru di sini bermula September lalu.

Namun sejak sebulan lalu, hatinya terbuka untuk menawarkan satu lagi perkhidmatan tetapi dilakukan secara percuma iaitu untuk mencuci bukan kereta tetapi van jenazah.

Mungkin ada yang tidak percaya dengan tawaran itu, tetapi hasrat Mohd Azlan Mohd Yunan, 44, itu dinyatakan di akaun Facebooknya pada Sabtu, sehingga menjadi tular.

Hasrat Mohd Azlan menawarkan khidmat mencuci van jenazah secara percuma dinyatakan di akaun Facebooknya.

Mohd Azlan ketika dihubungi mStar Online berkata, idea tersebut timbul selepas seorang rakannya yang merupakan pemandu van jenazah menghantar kenderaan itu untuk dicuci.

Walaupun ditawarkan bayaran sebagai upah mencuci van jenazah itu, tetapi anak kelahiran Petaling Jaya ini menolaknya secara baik.

“Di sudut hati saya mengapa perlu kenakan caj untuk cuci van jenazah kerana suatu hari nanti saya pun akan ‘naik’ van tu bila menemui ajal.

“Terdetik hati mengapa tidak tawarkan bantuan untuk mencuci van jenazah tanpa sebarang bayaran, yang saya anggap ia adalah sebahagian daripada amal jariah saya,” katanya pada Ahad.

Mana-mana pihak terutama masjid dan surau di Jalan Klang Lama sehingga Kelana Jaya dan kawasan sekitar boleh menghantar van jenazah mereka untuk dicuci secara percuma.

Beroperasi dari pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam, Mohd Azlan mengusahakan perkhidmatan mencuci kereta bersama anak-anaknya dan beberapa pekerja lain.

Mana-mana pihak terutama masjid dan surau di Jalan Klang Lama sehingga Kelana Jaya dan kawasan sekitar boleh menghantar van jenazah mereka untuk dicuci secara percuma.

Katanya, van jenazah itu bukan sahaja dicuci di bahagian luar dan dalam bahkan turut membersihkan keranda jenazah.

Selain van jenazah, keranda turut dicuci secara percuma.

Berkongsi pengalaman, pada awalnya anak-anaknya dan rakan-rakan anaknya yang bekerja secara sembilan di premisnya berasa takut untuk mencuci van berkenaan kerana ia membawa 'orang yang sudah meninggal dunia'.

"Mula-mula mereka memang takut, fikir yang bukan-bukan. Tapi saya pesan pada mereka apa yang saya rasa... satu hari nanti kita atau keluarga kita akan ‘naik’ van tu.

"Apa yang penting adalah niat kita baik dan ikhlas. Alhamdulillah mereka semua tak ada masalah untuk melakukannya,” katanya sambil menambah setakat ini telah mencuci van jenazah sebanyak empat kali secara percuma.

Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada isteri dan rakan-rakan baik kerana memberi sokongan dalam menunaikan hasrat tersebut.

Rata-rata netizen mengalu-alukan usaha murni Mohd Azlan sambil mendoakan perniagaannya itu diberkati dan dimurahkan rezeki.

van jenazah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain