suria

Daesh: Warga Indonesia Dipenjara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Isnin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan ke atas seorang warganegara Indonesia selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 73 gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kilang papan, Tahang Yuddin, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mohd Sofian berkata perbuatan tertuduh adalah jenayah serius dan sekiranya tidak ditangkap, kemungkinan dia akan menyertai kumpulan jihad di Syria dan negara bergolak lain yang terbabit.

"Jenayah yang kamu lakukan adalah serius dan mengancam kesejahteraan dan keamanan Malaysia," katanya yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 8 Disember 2016.

Anak sulung dari dua beradik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat pegawai kawalan Cawangan Khas, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor pada 1.45 tengah hari, 8 Disember 2016 mengikut Sek­syen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah menyesal atas perbuatannya dan  mahu pulang ke Indonesia untuk membantu ibu bapanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa Malaysia tidak bersekongkol dengan perbuatan keganasan.

Berdasarkan fakta kes, polis telah menangkap tertuduh pada hari kejadian dan mendapati telefon bimbit miliknya mengandungi 73 imej berkaitan kumpulan pengganas. - BERNAMA

Daesh

Artikel Sebelum

Mengapa Kubur Aliya Digali?

Artikel Berikut

'Datuk Seri' Cuba Sogok Rela

Artikel Lain