KUALA LUMPUR: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang didakwa dipukul oleh lelaki bergelar 'Datuk Seri' tidak tergoda dengan tawaran wang untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat baru-baru ini. Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin berkata, salah seorang mangsa telah dihubungi oleh seorang individu yang didakwa menawarkan wang RM10,000 jika mereka sanggup membatalkan laporan polis tersebut. "Kami tidak sesekali akan bertolak ansur dalam perkara ini dan tidak akan menerima tawaran berkenaan. "Sekiranya dia melakukan jenayah itu, dia harus bersedia untuk berdepan akibatnya," katanya pada sidang media, Isnin. Zainal Abidin berkata suspek, seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai memegang gelaran Datuk Seri, telah mengarahkan seorang individu yang bertindak sebagai 'orang tengah' membuat tawaran itu pada Ahad. Ketua Perhubungan Rela kawasan, Ho Hoong Keong, 56, dengan tegas menolak tawaran tersebut. Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki terbabit. Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki itu mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian. Pada Ahad, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata suspek berusia 29 tahun itu telah dikenal pasti dan diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.