ASSALAMUALAIKUM. Musim umrah sudah bermula. November dan Disember ini sudah tentu menyaksikan lambakan jemaah di Tanah Suci Madinah dan Makkah, maklum saja cuti sekolah. Ramai keluarga yang merebut peluang untuk membawa anak-anak ketika ini. Begitu juga mereka yang bergelar guru, November dan Disember sering menjadi pilihan kerana cuti penggal ketiga yang panjang. Apatah lagi musim dingin, terutama di Madinah yang menyebabkan ramai jemaah terasa selesa dengan cuaca sedemikian. Kadangkala jemaah yang berkunjung ke Tanah Suci mempunyai kenalan, rakan atau saudara mara yang berhijrah atau bertugas di Makkah atau Madinah. Justeru, peluang bertemu mereka umpama kemestian bagi mengeratkan lagi silaturahim. Jika saudara mara boleh mengambil anda dengan kenderaan sedia ada, ia tidak menimbulkan masalah atau kesulitan tetapi jika sebaliknya, sudah tentu anda perlu mengambil teksi bermeter atau teksi sapu di sekitar Masjidil Haram. Selamatkah menaiki kenderaan di sana? Soalan ini sering dibangkitkan, terutama oleh jemaah wanita. Ramai mengatakan pemandu di sana suka meletakkan bayaran tinggi dan perlu tawar sebelum menaiki teksi mereka dan perkara ini tidak saya nafikan. Dari segi keselamatan, usah ragu dan bimbang apatah lagi jika anda menaiki kenderaan bersama-sama mahram atau rakan jemaah lelaki yang sedia menemani. Ramai wanita bertanya mengenai perkara ini dan terus terang saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak pernah menaiki teksi bermeter atau teksi sapu bersendirian atau bersama rakan-rakan jemaah wanita yang lain. Biarpun sering diberi rezeki diundang oleh Allah ke Tanah Suci tetapi sekali pun saya tidak pernah menaiki kenderaan tanpa ditemani lelaki. Ada kebimbangan di hati saya, tidak kiralah di Makkah atau di Madinah. Saya begitu berhati-hati dalam hal ini walaupun ada rakan di Makkah mengatakan selamat dan usah bimbang namun, saya tidak berani demi keselamatan. Tidak dinafikan ada wanita yang berani menaiki kenderaan tanpa ditemani mahram atau rakan jemaah lelaki lain. Jika tiada sebarang masalah yang timbul, Alhamdulillah, tetapi apa pun kita perlu beringat dan berwaspada. Ketika musim haji baru-baru ini, saya berpesan kepada rakan-rakan jemaah wanita agar tidak terlalu berani menaiki kenderaan berdua atau berempat kerana malang tidak berbau. Mungkin untuk penduduk di sana tiada sebarang masalah yang akan timbul tetapi sebagai jemaah haji dan umrah, kita perlu lebih berhati-hati. Malah, masih saya ingat, ketika Ramadan tahun lalu, saya minta ketua saya menemani saya ke Tanaim untuk bermiqat. Dia menemani saya menaiki teksi sapu dengan harga SR80 pergi balik. Beliau sendiri tidak melepaskan saya bersendirian atau pergi dengan jemaah wanita lain kerana aspek keselamatan. Malah, ketika berkunjung ke Tanah Suci pada Syawal, saya membawa anak bujang saya ke rumah seorang kenalan di Awali untuk menziarahinya yang masih di dalam idah selepas kematian suami. Saya menaiki teksi bermeter dari hotel penginapan di Haneen Firdaus di kawasan Misfalah. Alhamdulillah, seorang kakitangan hotel mencarikan teksi bermeter untuk saya yang mudah ditemui di sepanjang jalan, terutama selepas waktu solat. Namun, pastikan anda mencari teksi tertulis Ujrah yang berwarna putih. Kakitangan itu turut meminta pemandu teksi menghantar saya ke tempat yang hendak dituju dan turut bertanyakan harga. Setelah dimaklumkan saya bersetuju dan terus menaiki teksi bersama-sama anak bujang. Kawan saya turut mentertawakan saya kerana kebimbangan saya itu tetapi bagi saya dia mungkin tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana bercadur dan berpakaian serba hitam tambahan pula sudah lebih 10 tahun duduk di Makkah, mengenal pasti tempat di sekitar Makkah dan agak fasih berbahasa Arab. Setelah hampir dua jam di rumah kenalan saya itu, saya minta diri untuk pulang dan beliau maklumkan kepada saya mengenai perkhidmatan Uber. Terkejut juga saya kerana tidak sangka khidmat Uber juga ada di Tanah Suci. Bagi saya lebih selamat dan selesa jika anda memilih perkhidmatan Uber. Kenderaan bersih dan pemandu berbangsa Arab begitu sopan. Sejurus keluar dari rumah rakan saya itu terletak sebuah masjid dan terdengar laungan azan Asar. Pemandu itu meminta izin daripada saya untuk bersolat Asar seketika. Saya bersetuju. Saya duduk di dalam teksi dan 10 minit kemudian, dia datang semula meneruskan pemanduan. Tiba di sekitar Masjidil Haram, saya menyerahkannya wang berserta tip tetapi pemandu itu menolak dan hanya mengatakan bayaran hanya SR14 sebagaimana dimaklumkan sebelum itu. Untuk mendapatkan khidmat teksi Ujrah, anda boleh mencarinya di sekitar belakang Hotel Dar Tawhid manakala di sekitar Ajyad pula anda mudah memperoleh teksi sapu tetapi pastikan anda bijak menawar. InsyaAllah bersambung minggu depan.