KUALA LUMPUR: Pewaris takhta Britain, Putera Charles memulakan lawatan sulung ke Malaysia pada Jumaat dengan menzahirkan kekaguman baginda terhadap kekayaan budaya warisan dan kepelbagian kaum di negara ini. "Beta harus mengatakan bahawa beta sentiasa terpersona dengan kekayaan budaya, agama dan kepelbagian kaum di Malaysia...jika beta berkata demikian, ia sesuatu yang perlu dihargai dan diraikan,” titah Putera Wales itu pada majilis resepsi yang dihoskan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. "Beta tidak dapat bayangkan betapa gembiranya deta berada di Malaysia buat pertama kalinya dan pada waktu sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Malaysia,” titahnya pada majis rasmi pertama sempena lawatan seminggu baginda bersama isteri, Camillia, Duchess of Cornwall. Baginda berdua tiba di ibu negara pada Khamis bagi lawatan rasmi ke Malaysia, salah satu destinasi baginda dalam Jelajah Musim Luruh Diraja. Majis resepsi tersebut diadakan di Muzium Kesenian Islam, berhampiran dengan Masjid Negara di sini. Dalam ucapannya, Putera Charles bertitah bahawa tetamu pada majlis itu mewakili pelbagai kumpulan agama di Malaysia dan masyarakat sivilnya yang bersemangat boleh memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman dalam dan antara pelbagai masyarakat di negara ini. Aturan majlis resepsi tidak mungkin lebih sesuai lagi, titahnya, dengan menggambarkan Muzium Kesenian Islam Malaysia sebagai sambutan indah kehebatan pelbagai tradisi kesenian Islam dan kekayaan pelbagai pengaruh yang membentuknya selama berabad-abad. "Khususnya beta gembira kerana muzium ini mempunyai hubungan akrab dengan Sekolah Kesenian Tradisional beta yang bertujuan memastikan kesinambungan kesenian dan kemahiran tradisional dapat terus memperayakan dunia yang berubah ini. “Terutama apabila anda memikirkan bahawa banyak amalan tradisi dan bentuk keseniantradisional dunia sudah pun dimusnahkan,”titah baginda. Pada lawatan selama 90 minit itu, Putera Charles diiringi oleh Sultan Nazrin, melawat galeri-galeri, antara tumpuan, Galeri Seni Bina Islam, al-Quran dan Galeri Manuskrip serta Bilik Uthmaniyyah, dalaman yang disusun semula dari sesuatu bilik Syria Uthmaniyyah sejak awal abad ke-19. Putera Charles turut menghadiahkan muzium itu dengan cenderahati bingkai dalam bentuk nama baginda ditulis dalam aksara Arab dan dihasilkan oleh baginda sendiri. Mengulas mengenai Sekolah Kesenian Tradisional, baginda bertitah objektif sekolah tersebut adalah untuk mengusahakan penyelesaian praktikal bagi menangani ancaman kemusnahan tradisi dan bentuk kesenian tradisonal dunia. Penyelesaian utama, titah baginda, adalah pengajaran dan penggalakkan amalan kesenian dan kraf ini termasuk dalam kalangan pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya dari seluruh dunia yang menghadiri sekolah tersebut. “Oleh itu, sekolah tersebut adalah unik untuk memupuk pemahaman dan toleransi antara budaya, membantu menjalin hubungan dan menggalakan pengiktirafan nilai-nilai bersama yang dipegang oleh semua, “ titah Putera Charles. Beralih semula ke venue resepsi, baginda bertitah, muzium itu berfungsi sebagai peringatan betapa pentingnya semua masyarakat dapat memelihara dan bangga dengan warisan budaya masing-masing. “Atas sebab itu, beta bangga untuk memulakan lawatan ke Malaysia di muzium yang hebat ini bersama anda semua pagi ini,” titahnya. Selain Kuala Lumpur, pasangan diraja itu dijadual melakukan lawatan ke beberapa lokasi di Perak, Sarawak dan Pulau Pinang serta menyertai beberapa program penting sempena lawatan itu sehingga 8 November ini. Pada Jumaat, baginda berdua akan menghadap Yang-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara serta menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Kerabat diraja British yang pernah melawat Malaysia sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh bagi menghadiri upacara perasmian Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan Putera William, Duke of Cambridge dan isteri Kate Middleton, Duchess of Cambridge, pada September 2012.- Bernama