suria

Siling Runtuh, Azizah Bimbang Keselamatan Keluarga

Siti Azizah menunjukkan surat memaklumkan permohonan bantuan baik pulih rumah tidak diluluskan LZS.

SUBANG BESTARI: “Kalau boleh saya nak minta tukar unit rumah lain, kasihanilah suami yang selalu kena sawan dan jatuh tak kira tempat,” rayu ibu anak enam, yang tinggal di pangsapuri milik Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Subang Bestari di sini.

Siti Azizah Man, 41, berkata, siling rumah tingkat empat didudukinya mengalami kerosakan dan roboh dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi, 9 Mei lalu.

Kejadian itu menyebabkan kaki anaknya turut mengalami luka kecil akibat ditimpa siling yang terjatuh.

“Sejak dua tahun lalu, siling rumah hanya nampak kesan bocor saja dan air mengalir di tepi dinding, saya ada buat aduan tapi tiada tindakan hinggalah siling rumah runtuh enam bulan lalu.

“Saya bimbang keadaan keselamatan rumah berikutan ada suis yang terjejas akibat terkena air, hingga kini kalau hujan memang air akan mencurah masuk dalam bilik dan mengalir di tepi dinding,” katanya yang berpindah ke situ sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, dia merayu supaya dipindahkan ke tingkat lebih rendah di Pangsapuri Seri Purnama berkenaan berikutan suaminya, Samion Abdul Malik, 50, mudah terjatuh apabila diserang sawan.

Dia pernah dijanjikan untuk dipindahkan ke rumah lain atau kerja baik pulih siling dilaksanakan bersama unit rumah lain yang turut mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, selepas kehadiran pegawai agensi berkenaan ke rumahnya beberapa bulan lalu tiada tindakan diambil dan dia terkejut dimaklumkan permohonan membaiki siling tidak diluluskan dalam surat dihantar menerusi pos pada 4 Oktober lalu.

“Dulu sebelum pindah sini suami masih sihat jadi saya tak kisah kalau ditempatkan di tingkat empat tapi sekarang keadaan mendesak kerana suami pernah terjatuh dari tangga tingkat tiga ditambah lagi keadaan siling yang bocor dan suis rumah rosak.

“Kalau boleh baiki siling rosak atau jika tak minta tukar unit rumah lain yang ada kekosongan,” katanya.

Siti Azizah yang bertugas sebagai anggota Rela berkata, sebelum berpindah ke situ dia tinggal bersama enam anak berusia lapan hingga 20 tahun di dewan selama setahun kerana dihalau pemilik rumah sewa didudukinya sebelum ini. - Sinar Online

Lembaga Zakat Selangor

Artikel Sebelum

Rindu Seorang Jurugambar

Artikel Berikut

Artikel Lain