PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan bertindak lebih agresif dalam memantau salah laku pemprosesan data peribadi pengguna dalam transaksi komersial bagi mengelak orang awam daripada menjadi mangsa jenayah siber. Pesuruhjaya JPDP, Khalidah Mohd Darus berkata sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) (Akta 709) pada awal tahun ini, jabatan itu kini sedang melakukan audit pematuhan ke atas syarikat yang tergolong dengan 13 sektor perniagaan yang terlibat dengan pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial. Sektor perniagaan itu ialah komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, pengangkutan, pendidikan, jualan langsung, perkhidmatan, hartanah, utiliti, broker pajak gadai dan peminjam wang. "Kesemua 13 sektor perniagaan yang menggunakan data peribadi pengguna adalah diwajibkan untuk mendaftarkan perniagaan mereka di bawah JPDP," katanya pada majlis taklimat Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kepada wakil agensi swasta dan kerajaan di sini Khamis. Menurutnya pada awal kelulusan Akta Perlindungan Data Peribadi oleh Parlimen pada 2010, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program kesedaran melibatkan kumpulan sasar serta sesi khidmat nasihat kepada syarikat yang terlibat dalam megendali data peribadi. "Maka pada 2017 iaitu setelah bermulanya tahun penguatkuasaan akta ini, adalah diharapkan semua pihak memandang serius kepentingan perlindungan data peribadi,” katanya. Menurutnya lebih 13,000 syarikat telah berdaftar dengan jabatan itu sehingga kini namun kira-kira 30 peratus syarikat masih gagal untuk berbuat demikian. "Mereka diingatkan untuk tampil berdaftar dengan JPDP sebelum anggota JPDP melaksana penguatkuasaan di premis mereka melalui Ops 336 yang kini sedang dijalankan. "Setakat tahun ini, kami telah melakukan pemeriksaan dan audit di 32 organisasi yang melaksana tujuh prinsip PDPA selain turut menerima sebanyak 220 aduan daripada orang ramai," katanya. Daripada 220 aduan tersebut, sebanyak 17 kertas siasatan telah dibuka dan sehingga kini mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap tiga kes kesalahan yang melibatkan jumlah denda RM40,000, katanya. Khalidah berkata antara kesalahan yang dilakukan oleh syarikat terbabit adalah penyalahgunaan data peribadi pengguna, tiada perakuan pendaftaran dan memproses data peribadi tanpa kebenaran. "Kesalahan yang dilakukan adalah melibatkan syarikat yang terlibat dalam sektor pendidikan, pelancongan dan agensi pekerjaan swasta," katanya. Bersesuaian dengan kemajuan teknologi masa kini, beliau berkata pihaknya kini merancang untuk mewajibkan dua lagi sektor perniagaan iaitu sektor automotif dan perkhidmatan perkongsian kenderaan (e-hailing) untuk berdaftar dengan JPDP pada tahun hadapan. - BERNAMA