PETALING JAYA: Rasa penat seharian bekerja belum pun hilang, namun seorang wanita terpaksa menanggung kerugian apabila kenderaannya yang diletakkan di bangunan tempat letak kereta Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh hilang pada Jumaat. Lebih dikesalkan apabila kereta tersebut hilang dalam sebuah bangunan yang sentiasa diawasi oleh pengawal keselamatan dan mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV). "Saya tinggalkan kereta di kawasan itu pada pukul 7.30 pagi kerana ingin menaiki MRT ke tempat kerja yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur." "Pada mulanya, saya ingat saya salah 'parking'. Tapi selepas puas mencari selama 15 minit, saya buat aduan kepada pihak pengurusan untuk memaklumkan tentang kehilangan kereta saya. "Padahal saya sudah kunci bahagian stereng. Nak marah pun bukan dapat balik," kata Nur Farhana Mohammad Adam kepada mStar Online pada Sabtu. 'Posting' mengenai kes kecurian kereta milik Nur Farhana dimuat naik oleh rakannya, Akmar Azhar ke laman Facebook pada malam Jumaat. Katanya, dia hanya menyedari tentang kehilangan kereta tersebut setelah tiba di bangunan itu sekitar pukul 7 malam hari yang sama. Nur Farhana mendakwa bahawa dia tidak tahu tentang waktu sebenar kejadian itu berlaku kerana tiada rakaman CCTV direkodkan. Bagaimanapun, laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada malam Jumaat. Gambar kereta milik Farhana yang berada dalam simpanannya. Wanita berusia 28 tahun yang berkerja sebagai seorang jurutera itu memberitahu bahawa baru masuk hari ketiga dia meletakkan kenderaan di bangunan tersebut dan tidak menyangka perkara itu akan menimpa dirinya. Sementara itu, jurucakap MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) ketika dihubungi pada Sabtu berkata, pengendali tempat letak kereta tersebut juga telah membuat laporan polis mengenai kes kehilangan terbabit. "Memandangkan kes ini adalah kes polis, MRT Corp dan pengendali tempat letak kereta akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dalam proses siatan. "Ini termasuk mengemukakan rakaman CCTV yang berkenaan kepada pihak polis," ujarnya.