suria

Spesies Baru Orang Utan Ditemui

Orang utan Tapanuli ditemui di pusat pemuliharaan ekosistem Batang Toru, Sumatra.

KOTA KINABALU: Usaha penyelidikan di peringkat global membabitkan empat benua selama empat tahun membawa kepada penemuan satu spesies baru orang utan yang dianggap menjadi beruk besar paling terancam di dunia.

Penemuan spesies orang utan ketiga itu hasil usaha keras seramai 37 saintis dari 10 negara negara sejak 2013.

Sebelum itu, saintis telah mengenal pasti dua spesies orang utan yang dikenali sebagai Pongo pygmaeus di Borneo manakala sepupunya, Pongo abelii di Sumatera.

Namun semasa penyelidik menerima sisa rangka orang utan dari rantau Tapanuli, Sumatera empat tahun lalu, mereka menyedari penemuan sesuatu spesies yang amat bermakna.

Antara penyelidik yang terlibat adalah Dr Benoit Goossens, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang yang terletak di Kinabatangan, Sabah.

Selepas melakukan penyelidikan selama empat tahun, saintis dan pakar hidupan liar mengesahkan orang hutan yang ditemui di pusat pemuliharaan ekosistem Batang Toru di Sumatera merupakan spesies berbeza daripada Pongo abelii.

Mereka menamakan spesies baharu itu sebagai Pongo tapanuliensis atau orang utan Tapanuli yang tinggal di tiga daerah Tapanuli di utara Sumatera.

"Orang utan dari rantau Tapanuli secara fizikal dan genetik berbeza dari dua spesies lain yang ditemui sebelum ini. Perbezaan tengkorak spesies itu amat ketara," kata Goossens.

Pasukan saintis dan penyelidik antarabangsa diketuai Profesor Michael Krutzen dari Universiti Zurich dan kompenen utama dalam tugas mereka adalah menyelesaikan kajian genomik terbesar dalam sejarah spesies orang utan liar.

Pemodelan komputer yang menyusun semula sejarah populasi ketiga-tiga  orang utan itu mendedahkan spesies dari Batang Toru itu diasingkan selama 10,000 hingga 20,000 tahun.

Menurut kajian itu, populasi kecil orang utan itu kini diancam aktiviti perlombongan, pertanian, pembalakan haram serta cadangan empangan hidroelektrik yang bakal menenggelamkan lapan peratus habitat haiwan itu.

Penyelidik juga menggesa satu langkah pemuliharaan segera dilakukan bagi mengelak spesies itu daripada pupus. 


orang utan, Pongo tapanuliensis

Artikel Sebelum

Tiga Maut Nahas Lori, Treler

Artikel Berikut

Artikel Lain