suria

Tiga Maut Nahas Lori, Treler

Foto Facebook.

SEGAMAT: Tiga maut dan dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah treler di Jalan Pulapol (Jalan Pintasan Segamat), di sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, pemandu lori Rahmani Warni, 58, bersama dua penumpang lori berkenaan Amir Hassan, 30, dan Eriman Yaatim, 34, terkorban di tempat kejadiaan akibat kecederaan parah.

Sementara itu, pemandu treler, M. Abimanan, 27, dan penumpangnya pula, S. Rajeswary, 23, hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila secara tiba-tiba lori dari arah Batu Anam menghala ke Segamat masuk ke laluan treler terbabit.

“Pemandu treler cuba mengelak ke bahagian kanan jalan, namun tetap bertembung dengan lori tersebut yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Beliau berkata lokasi kejadian adalah jalan selekoh dengan dua lorong dua hala dan terdapat garisan berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan.

“Kemalangan berlaku pada waktu petang, cahaya terang, cuaca baik selepas hujan dan permukaan jalan basah,” katanya.

Raub berkata lori itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan treler pula pada bahagian sisi sebelah kiri hadapan.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Segamat untuk bedah siasat, manakala kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Segamat untuk pemeriksaan. - BERNAMA

kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Spesies Baru Orang Utan Ditemui

Artikel Lain