suria

Gurauan Terakhir Ibu

Gambar kiri: Nurizzatul (kiri) ditenangkan oleh saudaranya semasa di bilik mayat Hospital Jempol,Sabtu.

JEMPOL: Dua beranak maut apabila kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan di sini, Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa, Mohammad Aliff Azmi, 27, dan ibunya, Amaidah Mohamad Azid, 64, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan lain.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, anak mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah  dari arah Bahau ke Kemayan sementara lori tersebut datang dari arah Kemayan ke Bahau, sebelum bertembung di tempat kejadian.

“Akibat daripada pertembungan itu kereta mangsa kemudiannya tercampak ke sebelah kiri jalan menyebabkan berlaku pergeseran antara kereta mangsa dengan sebuah kereta Honda Jazz yang datang dari arah belakang mangsa.

“Semasa kejadian berlaku cuaca adalah cerah dan permukaan jalan juga adalah baik serta jalan lurus.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori dan kereta Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol untuk tindakan susulan.

Kes akan disiasat mengikut Sesyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, anak mangsa Nurizzatul Othman, 14, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jempol memberitahu, dia tidak sangka gurauan ibunya petang kelmarin mengenai kematian adalah petanda bahawa dia akan pergi selamanya.

Kata Nurizzatul, semasa ibunya sedang berehat di bilik, dia mengambil gambar ibunya untuk dihantar kepada kakaknya yang tinggal di Kajang, Selangor.

“Ibu sempat berseloroh, ambillah gambar banyak-banyak, bila ibu dah tak ada tahu lah nanti. Saya tidak syak apa-apa kerana ibu memang suka bergurau.

“Tak sangka pula kata-kata itu adalah petanda ibu nak pergi tinggalkan saya,” katanya.

Menceritakan detik sebelum kejadian, Nurizzatul memberitahu arwah ibu dan abangnya, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas ibunya selesai menjalani rawatan dialisis di sebuah klinik swasta di Bahau.

Katanya ibunya menjalani rawatan dialisis pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu,  dan kebiasaan arwah abangnya akan menghantar ibu ke klinik berkenaan.

Katanya, dia menerima panggilan telefon dari seorang saudara mengenai kemalangan itu ketika berada di rumah jiran.

“Secara tiba-tiba ada saudara telefon saya beritahu ibu dan abang kemalangan dan meninggal di tempat kejadian.

“Saya rasa nak pengsan, sebab terlalu terkejut kerana saya baru sahaja setahun lalu kematian ayah,” katanya sedih.

Tambahnya, dia yang mempunyai penyakit jantung berlubang semakin gusar dengan nasib yang menimpanya,  apabila 4 Disember ini akan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Selepas ini saya tidak pasti macam mana, mungkin saya akan duduk dengan kakak di Kajang,” katanya sambil menambah, dia tiada sesiapa lagi di Bahau melainkan kakaknya di Kajang.- Sinar Harian

Bahau, Amaidah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain