PETALING JAYA: Senyumannya yang manis dengan lirikan mata yang tajam serta kening diangkat, tidak hairanlah wajah comel si cilik ini cukup disenangi mereka yang disapanya. Walaupun masih di bangku sekolah, budak perempuan berambut pendek ini bijak bermain kata-kata, memasang strategi pemasarannya menjual minuman. Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, seorang wanita bertanyakan tentang kebaikan minuman kopi yang dijual murid Tahun Lima ini. Gaya Siti Aisyah menjual minuman kopi menarik perhatian ramai. Sumber YouTube/GT Dorado “Ia selamatkan orang daripada melibatkan kemalangan. Sebab kopi ni hilangkan ngantuk,” kata Siti Aisyah Qayyum, 11, meskipun tidak memperincikan khasiat minuman tersebut tetapi mampu memberi jawapan yang masuk akal. Menerusi satu lagi video yang tular, adik kepada Siti Aisyah yang baru berusia tujuh tahun berkata: “Akak nak beli tak air ni? Kalaulah akak beli ni kan, ‘kaw kaw’ sedap kak.” Malah Siti Khadijah sempat bergurau saat diajukan mengenai harga air yang dijual: “Kalaulah kita orang dah kaya kan kak, kita orang boleh jual 50 sen.” Bagaimanapun, Siti Aisyah dan Siti Khadijah tidak berniaga bersendirian, sebaliknya ditemani dua lagi adik-beradiknya, Khalid, 12, dan Uthman, 10, serta ibunya, Sarah Muhamad, 35. Telatah Siti Khadijah menjual turut mencuit hati. Sumber Facebook/Wirausaha.my Sarah berkata, anak-anaknya sememangnya dilatih untuk berani dan yakin berkomunikasi dengan orang ramai menerusi kaedah pemasaran. Katanya, mereka mula menjual air minuman di tempat awam sejak September lalu sebelum video salah seorang anaknya sedang berniaga menjadi tular. “Saya mahu melatih mereka supaya mahir dalam pemasaran, jualan dan seterusnya menjadi usahawan. Mereka perlu yakin bila berhadapan dengan orang ramai. “Mungkin ada soalan-soalan yang diajukan bakal pelanggan, tetapi mereka diajar untuk bijak mengendalikannya, sekali gus dapat menarik perhatian ramai untuk membeli,” katanya kepada mStar Online. Dari kiri: Uthman, Siti Aisyah, Siti Khadijah dan Khalid. Perunding perniagaan itu bagaimanapun menjelaskan bahawa anak-anaknya tidak dibiarkan bersendirian kerana dia sentiasa memantau pergerakan mereka dari dekat. “Mungkin di dalam video itu nampak Aisyah seorang, tetapi ada juga adik-beradiknya yang lain di kawasan sama, dan saya turut memantau dari dekat. “Risiko ada di mana-mana. Saya didik mereka supaya tidak cuak dan perlu berani bila berlaku sebarang kemungkinan,” ujar Sarah sambil menjelaskan anak-anaknya membantu menjual produk minuman di luar waktu persekolahan, terutama waktu cuti dan hujung minggu.