LAHAD DATU: Cebisan badan dipercayai milik mangsa yang dilaporkan diserang buaya ditemui di Sungai Ladang Sabah Mas, Peringkat 3, kira-kira 70 kilometer dari bandar ini, pagi Isnin. Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan pada Isnin berkata, cebisan badan itu ditemui oleh anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat kira-kira 10.50 pagi. Menurut kenyataan itu, cebisan badan dipercayai milik Anuar Sabone, 40, itu ditemui tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan diserang buaya. "Cebisan badan ditemui itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat kemudian ditamatkan pada 4.05 petang oleh Ketua Polis Daerah Lahad Datu," kata kenyataan itu. Pada Ahad, kira-kira pukul 12.59 tengah hari, mangsa dikatakan ke Sungai Ladang Sabah Mas untuk memukat ikan dan dipercayai hilang akibat dibaham buaya, kata saksi yang merupakan anak mangsa sendiri.