TUMPAT: Tiada apa yang menggembirakan seorang isteri apabila suami yang terlantar separuh sedar selama tiga tahun sudah mampu bercakap walaupun hanya sepatah. Bagi Nor Azizah Ibrahim, 33, biarpun hanya sepatah perkataan dituturkan oleh suaminya, Mohd Amin Khasfi, 35, ia bagaikan satu hadiah berharga buatnya. “Suami saya dah boleh sebut warna biru, hitam, putih. “Walaupun dia separuh sedar, saya selalu bercakap dengan dia dan terkejut bila saya tanya pakai baju apa, dia sebut biru beberapa bulan lalu. "Sebelum ini, dia hanya mampu gerak bibir saja tapi suara tak bunyi,” katanya. Penderitaan Mohd Amin, lumpuh akibat serangan angin ahmar ketika bekerja di Sarawak mendapat perhatian Sinar Harian, setahun lalu. Pada Ahad, sempena program Doktor Masuk Kampung Klinik Kesihatan Wakaf Bharu yang turut disertai Bendahari Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al- Muhammadi, Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Tengku Feissal menziarahinya di Kampung Baru Pasir Pekan dan menyumbangkan kerusi roda, susu dan lampin pakai buang. Nor Azizah berkata, dia akan menjaga suaminya itu sepenuh kudratnya walau pun tidak pasti bila suaminya akan pulih. Katanya, dia mengharapkan suaminya kuat semangat demi dua anaknya, Arissa Balqis, 8, dan Nor Awatif Sofia, 3, yang merindui kasih seorang ayah. “Hanya doa saya mohon pada-Nya, sembuhkanlah suami saya, saya nantikan saat itu,” katanya. Kehidupan Nor Azizah sekeluarga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan serta bantuan adik-beradiknya. Sementara itu, Tengku Ibrahim Farihaddin berkata, program doktor masuk kampung bertujuan membantu pesakit yang kurang berkemampuan membeli peralatan pesakit. “Ini adalah tanggungjawab sosial Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi yang bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Wakaf Bharu,” katanya.