BALIK PULAU: Kejadian tanah runtuh sehingga menutup sepenuhnya jalan raya di Jalan Tun Sardon tidak menghalang semangat dua beradik untuk ke pasar di sini bagi menjual durian. Lian Keat Fong, 42 dan Lian Ah Thin, 50, merentasi jalan yang curam dan hutan batu sepanjang 50 meter (m) berhampiran tapak runtuhan tanah untuk melepasi bahagian di belakangnya. Terdahulu, mereka berjalan sejauh 300m dari dusun mereka yang terletak di atas bukit dengan dua bakul yang mengandungi 40 biji durian. Dari tapak lokasi tanah runtuh itu, mereka kemudiannya menaiki motosikal yang dipinjam untuk menuju ke pasar. Keat Fong berkata, dia perlu menjual durian di pasar Balik Pulau walau apapun yang berlaku kerana itu merupakan sumber pendapatan mereka berdua. Kegigihan mereka itu turut memberi peluang bagi penduduk yang terkandas disebabkan oleh kejadian terbabit untuk menikmati durian. Pengerusi Persatuan Buah-Buahan Pulau Pinang, Wong Jee Min, 47, berkata, angin kencang dan hujan menumbangkan sekurang-kurangnya 500 pokok durian di beberapa dusun di negeri mutiara itu.