suria

Kerana Teringin Khairul 'Curi-Curi' Masuk

Kisah Khairul yang baru berusia sembilan tular selepas mahu merasai pengalaman belajar di sekolah.

PETALING JAYA: Berpakaian sekolah lusuh yang disedekah jiran dan hanya berselipar, baru-baru ini seorang kanak-kanak bertindak ‘curi-curi’ masuk ke sebuah sekolah di Gombak, Selangor.

Semuanya gara-gara budak yang baru berumur sembilan tahun itu mahu merasai pengalaman menjadi seorang murid dan belajar di sekolah, tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Lebih dikenali sebagai Khairul, kehidupannya serba kekurangan dengan bapa yang hanya mencari rezeki sebagai pekerja kontrak dan mendapat gaji RM45 sehari, manakala ibunya mengemas rumah-rumah jiran.

Dengan kedua-dua ibu bapa yang juga buta huruf, Khairul dan abangnya berumur 10 tahun tidak mempunyai surat beranak menyebabkan mereka sukar untuk mendaftar sekolah.

Kisah Khairul bersama dua beradiknya yang dikongsikan oleh seorang cikgu, Mohd Fadli Salleh menjadi tular, sehingga mendapat perhatian ramai termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Khairul  (tengah) bersama dua adik-beradiknya.

Namun sementara menunggu proses mendapatkan sijil kelahiran dan pendaftaran sekolah, semangat untuk belajar begitu membuak-buak dalam diri Khairul.

Mohd Fadli ketika dihubungi mStar Online berkata, ada khabar gembira buat Khairul dan abangnya, termasuk adik perempuan mereka yang berumur enam tahun.

Sejak kisah Khairul tular minggu lalu, beberapa pihak tampil menawarkan pelbagai bantuan termasuk banyak peluang pembelajaran.

Menurut Mohd Fadli, tawaran yang diterima adalah daripada Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia (Projek Iqra’) di sebuah akademi di Gombak, berikutan lokasinya berdekatan dengan rumah tiga beradik itu.

“Wakil Projek Iqra’ telah mendapatkan tiga tempat untuk adik-beradik ini belajar bermula akhir bulan ini. Saya telah memaklumkan kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Sesi pembelajaran membaca dan menulis di Akademi I-Sina.

Sementara itu, Naib Pengerusi Projek Iqra’, Sharifah Sharina Syed Aswad mengesahkan bahawa badan bukan kerajaan (NGO) tersebut akan menaja program pembelajaran buat Khairul dan dua beradiknya di Akademi I-Sina di Gombak.

Katanya, Akademi I-Sina Gombak hanya terletak kira-kira 200 meter dari sekolah di mana Khairul ‘curi-curi’ masuk untuk merasai pengalaman belajar.

“Tiga beradik ini akan menyertai kelas Jom Baca untuk golongan buta huruf, mempunyai masalah untuk membaca dan menulis.

“Program kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu ini akan berlangsung dari 27 November sehingga 22 Disember depan,” katanya sambil menambah akan mengadakan pertemuan bersama Fadli dan ibu bapa Khairul bagi membincangkan mengenai kelas yang ditawarkan.

Artikel Sebelum

Bayi Dalam Beg Kertas

Artikel Berikut

Artikel Lain