KLUANG: Tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Ladang Mutiara dekat Kahang di sini hampir gagal menduduki peperiksaan apabila laluan untuk ke sekolah mereka terputus akibat banjir kilat pada pagi Rabu. Bagaimanapun, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang membantu membawa tiga pelajar lelaki dan empat perempuan itu menggunakan trak telah dapat menyelesaikan masalah. Ketua Balai Bomba Kluang, Akob Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.30 pagi Rabu dan tiba di Ladang Mutiara pada pukul 7.20 pagi. "Laluan yang penuh dengan kotoran di ladang itu dinaiki air hingga paras pinggang susulan hujan lebat pada sebelah malam, sekali gus menyukarkan kenderaan melaluinya," katanya. Akob menambah, pihaknya dapat menghantar semua calon SPM itu ke sekolah mereka untuk menduduki peperiksaan itu.