NOVEMBER adalah antara bulan yang paling ditunggu di Doha ini, terutama buat kami yang merantau jauh dari Malaysia. November umpama tirai yang mula menutup terik garang matahari di bandar raya ini. Ia biasanya berlaku secara perlahan-lahan. Walaupun perubahan suhu sudah boleh dirasai mulai Oktober, tetapi pada bulan Novemberlah yang perbezaan itu dirasakan lebih jelas. Waktu ini suhu sudah mula menurun sehingga 30 darjah Celsius, dan dijangka akan turun sedikit demi sedikit sehingga Disember sebagai perintis buat musim sejuk yang bakal menjengah. Dan pada bulan November jugalah kami semua mula berasa gatal-gatal tekak. Jika yang sensitif kepada perubahan cuaca, maka demam akan menjangkiti. Yang kuat antibodinya akan pulih sekitar dua ke tiga hari, yang lemah bakal kecundang kadang-kadang berminggu-minggu lamanya. Seperti aku sekarang, sudah mahu masuk minggu kedua tekak belum juga pulih. Walaupun demam telah lama hilang, tetapi perit ditekak terasa pekat melekat. Di tempat kerja, berderet-deret manusia mengalami masalah yang sama. Suara masing-masing mula bertukar menjadi garau. Waktu ini, ubat yang paling mujarab adalah Chloraseptic, yang boleh dibeli di mana-mana farmasi di sini. Jika tidak pun, air lemon menjadi penghilang dahaga sepanjang hari. Tetapi perubahan cuaca dari musim panas ke sejuk tidak sangat memberi impak yang besar. Yang paling kuat memberi kesan ialah ketika perubahan dari musim sejuk ke panas. Waktu itu, alahan yang akan dialami lebih teruk. Aku masih ingat lagi waktu tahun pertama aku di sini, pertama kali melalui perubahan cuaca suhu yang mendadak ini mendatangkan kesan yang tidak boleh dilupakan. Waktu itu tahun 2015, penghujung bulan Mac. Tanda-tanda musim sejuk bakal tamat makin ketara. Musim panas perlahan-perlahan memunculkan diri. Perlahan tetapi sangat menghentak. Akibatnya, tekak mula kering tanda dehiadrasi. Tiga hari pertama berlalu dengan penuh seksa. Berapa banyak air yang ditelan pun tidak mampu membasahkan tekak. Demam kemudian datang memeluk dengan penuh erat sehingga batuk kokol dan selesema terkeluar dari badan. Seminggu kemudian, di tengah malam aku berasa tidak selesa. Terasa ada sesuatu di pangkal tekak. Seolah-olah ada kahak yang terkumpul minta dikeluarkan. Dengan keadaan mamai, aku bangkit dari lena menuju ke bilik air, mahu memuntah kahak yang menyekat rongga mulut. Tetapi berkali aku cuba memuntahkan ia masih melekat di situ. Enggan dimuntah keluar. Aku mula panik. Dalam keadaan susah-payah begitu, aku kembali ke bilik mengambil lampu suluh. Tiba di hadapan cermin di dalam bilik air, aku mula menyuluh mulut. Alangkah terkejutnya aku melihat yang tersekat di dalam mulut itu bukan kahak. Tetapi anak tekak yang sudah membesar, merah dan terbaring di atas lidah! Sepanjang hidup aku, ini kali pertama kali aku mengalami perkara sebegini. Dalam keadaan panik dan gelabah itu, aku mendengar suara orang terbatuk-batuk di bilik sebelah. Aku keluar dari bilik air, dan melihat Harith dengan muka yang merah keluar dari bilik. “Oi! Anak tekak aku jadi besarlah!” jerit Harith sewaktu nampak aku di depan pintu bilik air dengan suara yang garau. “Sama!” jawab aku. Esoknya, aku dan Harith pergi ke klinik. “Oi, anak tekak dalam bahasa Inggeris, apa?” tanya aku. Iyalah, sudah tentu doktor di sini bertutur dalam bahasa Inggeris. Macam mana pula aku nak ceritakan apa masalah aku kepada dia kalau ditanya nanti? “Aaa.. tak tahu,” jawab Harith. Aku pantas mengeluarkan telefon dan mula membuka applikasi Google. “Ooo… uvulalah,” kata aku kepada Harith sambil menunjukkan carian yang aku cari tadi. Hampir 10 hari juga untuk Harith pulih seperti sediakala, manakala aku hampir tiga minggu lama menanggung sengsara. Sejak hari itu, setiap kali permulaan pertukaran cuaca, kami mula berhati-hati dari segala kemungkinan. Tak sanggup aku nak tengok uvula terbaring atas lidah lagi.