BUKIT MERTAJAM: Bau busuk sayur-sayuran yang reput menusuk hidung ketika kedinginan di waktu pagi. Itulah yang dapat digambarkan mengenai situasi pemborong sayur yang mengalami kerugian gara-gara banjir yang melanda. "Jangan ambil gambar atau dedahkan nama kami, nanti pihak bank akan cari kami," jerit seorang pemborong sayur sewaktu dihampiri pasukan The Star di Padang Lalang. "Kami mengalami kerugian besar, tak tahu nak kira macam mana. "Stor simpanan kami tak pernah dinaiki air. Kali ini, air banjir naik sampai paras pinggang," ujarnya. Katanya, hanya pada malam Isnin air banjir mula surut membolehkan mereka memulakan proses pembersihan. Pekan berkenaan mula beroperasi sebagai pasar basah sejak 130 tahun lalu.Hari ini, ia merupakan pusat pemborongan utama di Seberang Perai. "Nilai kerugian mencecah jutaan ringgit. Perniagaan saya sendiri pun rugi sehingga RM150,000. "Sudah 30 tahun saya berniaga, ini kali pertama stor simpanan saya dinaiki air banjir," ujar Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Pulau Pinang, Datuk Kang Peng Weng. Tidak jauh dari stor simpanannya, seorang pengusaha cetakan pakej plastik yang tidak mahu dikenali mendedahkan dia mengalami kerugian penuh disebabkan banjir yang melanda. "Semua mesin cetak dan komputer saya musnah. Tiada apa lagi yang boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan," ujarnya. Sementara itu, pemilik GT Two Tyre and Battery Service Centre, Ten Chin Aik di Taman Desa Damai berkata, dia menemui ikan haruan yang masih hidup di bengkelnya. Ujarnya, stok tayar dan rim tidak terjejas walaupun ditenggelami air banjir. Dia bagaimanapun tidak berani untuk menghidupkan sebarang alatan eletrik di bengkelnya. "Saya harap semua peralatan boleh berfungsi apabila ia kering nanti. Kalau tidak, saya pasti memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk membeli semua kelengkapan itu semula," katanya. Ketika penduduk pekan itu mula membersihkan sisa banjir dan menghitung kerugian yang dialami, seorang suri rumah, Ruslina Ali,38, kelihatan gembira sambil membersihkan rumah kampungnya bersama anak dan suami. "Kami kehilangan semua benda. Bila dah hilang banyak macam ni, kami mesti tabah dan bersemangat. Mesin basuh bernilai RM1,500 yang baru dibeli suaminya baru-baru ini turut musnah dalam bencana itu. "Kami pun tidak tahu macam mana nak bina rumah kami semula. "Menangis pun tidak jadi apa-apa juga. Tiada guna untuk bersedih," ujar Ruslina.