suria

Mayat Lelaki Ditemukan Di Perangkap Sampah

Mayat seorang lelaki ditemui di perangkap sampah di sebuah kunci air di Kampung Sungai Kandis. - Gambar hiasan

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki ditemui di perangkap sampah di sebuah kunci air di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata mayat yang tidak diketahui identiti itu ditemui oleh orang awam pada 11.08 pagi.

“Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut memakai baju, berstokin tetapi tidak berseluar. Berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata lapan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sejurus bomba menerima maklumat penemuan mayat itu.

“Mayat dibawa ke tebing menggunakan bot sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain