suria

“Tiga-Tiga Salah Sebab Memekik”

Paparan skrin daripada klip video pasangan pengasuh 'menyerang' seorang wanita yang tular sejak Sabtu. - Facebook

PETALING JAYA: Tindakan sepasang suami isteri 'menyerang' seorang ibu diibaratkan seperti menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri apabila video perbuatan mereka itu tular di laman sosial.

Situasi tegang itu dipercayai tercetus selepas si ibu terbabit, Rabiah Mohd Salleh, 30, memuat naik status tidak puas hati terhadap pasangan berkenaan yang juga pengasuh anaknya.

Status yang ditulis Rabiah pada Khamis itu tular selepas dia mendakwa terdapat 'kesan' pada tubuh anaknya selepas dijaga oleh pengasuh l*****.

Pemilik akaun Facebook, Cik Embun Kembali berkata, sikap suami isteri yang bertindak seperti itu menguatkan lagi dakwaan bahawa mereka adalah 'kaki' dera budak.

"Biasanya pengasuh bersikap lembut terutama dengan kanak-kanak, yang suami pun sibuk nak masuk campur.

"Bahaya dapat jiran macam ni, profesional la sikit," katanya.

Status yang dipetik daripada akaun Facebook Rabiah yang mendakwa terdapat kesan pada tubuh anaknya.

Sementara itu, Alex Ugap pula berkata: "Tiga-tiga mereka salah sebab memekik. Cuba berbincang baik-baik."

"Kalau saya jiran sebelah memang saya panggil polis, biar mereka selesaikan masalah di balai," kata Alex.

Vincent Andrew Jinal pula berkata, perbuatan menyerang si ibu itu boleh menyebabkan pihak pengasuh itu dituduh menceroboh dan mengganggu orang lain.

"Rasanya kalau orang buat kenyataan yang boleh mengaibkan kita di Facebook, kita boleh buat laporan polis.

"Biar polis siasat. Kalau datang marah-marah, nak gaduh di rumah orang boleh menyebabkan kita dituduh menceroboh," katanya.

Berang dengan cacian yang dilemparkan kepadanya, pengasuh tersebut dan suaminya menyerang Rabiah bagi mendapatkan penjelasan tujuan sebenar wanita itu memuat naik status yang didakwa mereka tidak benar.

Laporan polis yang dibuat oleh Rabiah susulan kejadian 'serangan' oleh pasangan pengasuh tersebut.

Menerusi video yang berdurasi 10 minit 44 saat itu, perbalahan antara tiga individu itu bermula apabila suami pengasuh tersebut mempersoalkan tindakan Rabiah membuat kecoh di Facebook tentang kejadian yang menimpa anaknya.

Bagaimanapun, Rabiah menafikan dakwaan tersebut dan berkata, dia berbuat demikian kerana tidak puas hati selepas mendapat tahu pengasuh itu bercerita kepada orang lain bahawa dia sudah tiga bulan tidak membayar upah.

Menerusi rakaman itu, ketiga-tiga mereka kelihatan bertegang urat  dan masing-masing enggan mengakui dakwaan yang dilemparkan terhadap diri masing-masing.

Selepas video itu tular, Rabiah tampil membuat laporan polis di Seksyen 9, Shah Alam untuk membolehkan pihak berkuasa membuat tindakan lanjut.

Wanita itu juga berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap pasangan berkenaan selepas kes membabitkan mereka tular.

pengasuh

Artikel Sebelum

PRU14 Tahun Depan

Artikel Lain