GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 15 Mac tahun depan sebagai tarikh pengurusan semula bagi kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran. Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Phang memaklumkan pihak pendakwaan bagi kes itu telah mengemukakan rayuan mereka bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Persekutuan. Sithambaran ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah bercanggah dengan perlembagaan. Beliau berkata pada masa ini belum ada tarikh untuk rayuan itu didengar di Mahkamah Persekutuan. "Sejurus selesai prosiding dan bicara berhubung rayuan tersebut di Mahkamah Persekutuan barulah mahkamah ini (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ) akan memberikan tarikh perbicaraan baharu berhubung kes rasuah ini," katanya. - Bernama