KUALA NERUS: Awalnya hanya menjaga arwah ibu yang mengalami strok, akhirnya, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serius mahu membantu orang lain agar pesakit tidak terbiar dan pulih sepenuhnya. Pesakit strok sememangnya memerlukan penjagaan rapi terutama dalam melatih mereka untuk pulih, disebabkan itu Ahmad Razif bertekad menubuhkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, yang beroperasi secara rasmi empat tahun lalu. Pusat tersebut yang terletak di kawasan perkampungan nelayan bukan sahaja menyediakan peralatanlengkap umpama sebuah hospital swasta tetapi juga tenaga pekerja terlatih, yang semuanya boleh digunakan secara percuma. "Kebetulan, saya juga berpeluang menjaga arwah ibu saya yang menghidap angin ahmar selama tiga tahun, jadi sedikit sebanyak saya sangat memahami keperitan dialami pesakit dan keluarga mereka," katanya ketika ditemui Bernama di pusat tersebut. Pusat tersebut menjadi lokasi tetap persinggahan Ahmad Razif yang merupakan Adun Seberang Takir, meskipun sibuk menjalani tugasan harian malah ia bagaikan mempu meredakan kerinduan kepada arwah ibunya yang telah meninggal dunia 16 tahun lalu. "Sejak menjadi wakil rakyat, saya sering keluar masuk kampung menziarahi rakyat dan bertemu pesakit yang mengalami masalah angin ahmar dan mereka berdepan banyak kesukaran untuk mendapatkan rawatan susulan fisioterapi, di hospital. "Saya bertekad untuk membantu mereka, terutama mereka yang tiada pendapatan tetap malah jika mereka tiada kenderaan, pesakit akan diambil dari rumah untuk jalani ujian kesihatan di sini secara berkala, " katanya yang akan meninjau pusat itu pada sebelah pagi sekitar 9 hingga 10 pagi sebelum memulakan tugas rasmi Menteri Besar. Ahmad Razif berkata sejak awal lagi, niat beliau untuk membina sebuah pusat rehabilitasi secara percuma itu sentiasa dipermudahkan ALLAH SWT dengan sokongan banyak pihak serta syarikat swasta, yang menghulurkan sumbangan. Katanya, bagi membina bangunan tersebut, beliau pada mulanya, hanya memanggil tukang yang terdiri daripada orang kampung pada setiap minggu dan tiada kontraktor khas dilantik kerana kekangan kewangan. Sepanjang dua jam tinjauan Bernama di pusat tersebut, Ahmad Razif dilihat tidak kekok mengurut pesakit diiringi bacaan ayat suci al-Quran serta doa dan menurutnya, kebolehan mengurut itu ekoran pengalaman menjaga ibunya dan mendapat ilmu urutan yang betul daripada pegawai perubatan bertugas.