suria

Murtabak Boom Ubah Kehidupan Ibu Tunggal Lapan Anak

Ibu tunggal Zuriah Abdul Hamid, 39, membuat murtabak di gerainya di Tebingan Sungai Kuching baru-baru ini.

KUCHING: Kira-kira empat tahun lalu  wanita ini kehilangan tempat bergantung apabila suaminya seorang pesara tentera meninggal dunia secara mengejut akibat serangan angin ahmar.

Lebih perit ketika itu Zuriah Abdul Hamid, 39, sedang mengandung empat bulan anak kelapan mereka.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Zuriah berkata kehilangan tempat bergantung ketika ada tujuh mulut kecil lain yang perlu disuap amat memeritkan, namun dia gagahkan diri untuk bangkit demi masa depan anak-anak.

“Masa itu saya cuma nampak perniagaan martabak boom yang sebelum ini hanya diusahakan pada bulan Ramadan atau majlis keramaian bersama-sama arwah suami sejak 1998, sebagai satu-satunya jalan untuk menampung keperluan keluarga,” katanya.

Berasal dari Kampung Gita Laut di sini, Zuriah berkata dia  turut bersemangat apabila Anggota Dewan Undangan Negeri Tupong ketika itu, Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman (meninggal dunia pada 2017) turut memberi kata-kata perangsang agar dia menjalankan perniagaan sebagai sumber pendapatan.

Katanya sebagai tanda sokongan, Allahyarham  menempah 1,000 keping martabak boom untuk dihidangkan di rumah terbuka beliau pada hari ketiga sambutan Aidifitri 2013.

“Saya melahirkan anak kelapan pada hari raya pertama, keluar hospital pada hari raya kedua, kemudian dibantu adik dan anak pertama Muhd Azri Rafiq Khamis ke pasar membeli bahan-bahan untuk menyiapkan tempahan tersebut,” katanya.

Katanya bermula dari situ semangatnya kembali pulih dan bermodalkan resipi olahan arwah suami yang berasal dari Johor, dia menjalankan perniagaan murtabak boom di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini.

“Sekitar tahun 2016, saya didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak yang ingin membantu perniagaan martabak boom di bawah program Usahawan Mikro Kebajikan (UMK). Saya terima alatan seperti gerai, dapur serta beberapa peralatan lain bernilai RM5,000 untuk menambah baik perniagaan.

“Sebelum itu saya juga mengikuti kursus pembuatan makanan anjuran beberapa agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas),” katanya.

Zuriah berkata dalam tempoh setahun dia menyertai UMK dengan perkembangan perniagaannya dipantau JKM, dia meminta untuk keluar daripada program selepas mampu berdikari serta memiliki pendapatan agak memuaskan.

“Saya mohon keluar daripada program kerana merasakan ada insan yang lebih memerlukan daripada saya. Alhamdulillah Oktober (2017) lepas,  saya terima Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan yang diberikan kepada klien JKM yang sudah mampu berdikari sendiri serta menjana pendapatan sendiri atau tetap serta tidak memerlukan bantuan JKM lag,” katanya.

Menyifatkan program UMK amat baik, Zuriah menasihati  ibu-ibu tunggal supaya merebut peluang ditawarkan.

“Banyak kursus diadakan kepada peserta UMK seperti Program Pembanguan Minda, kami didedahkan bagaimana untuk memajukan diri.

“Kepada ibu tunggal jangan terlalu merendah diri, kalau dah jatuh jangan biarkan diri terus jatuh. Bangkit, pandang muka anak-anak,  fokus untuk masa depan mereka jalankan apa-apa perniagaan ikut kemahiran kita yang boleh datangkan hasil untuk menyara keluarga,” katanya yang kini diibantu anak sulungnya Muhd Azri Rafiq, 18,  menjalankan perniagaan martabak boom.-- Bernama 

murtabak boom

Artikel Sebelum

Suspek Pembunuhan Kejam Diburu

Artikel Berikut

Artikel Lain