suria

Calon SPM Kematian Ibu Kembali Ke Sekolah

Gambar keluarga ini menjadi antara gambar kenangan Nuryn Elmira Farhana (tengah) bersama arwah ibunya, Surina (kiri). Foto Sinar Online

KEMAMAN: Selepas menempuh detik duka kematian ibu dan terpaksa menduduki dua kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hospital Kemaman pada Rabu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Nuryn Elmira Farhana Mohd Hamzah, 17, kembali menjawab kertas peperiksaan di sekolahnya pada Khamis.

Nuryn Elmira Farhana yang kehilangan ibunya, Surina Ghani, 40, dalam nahas tragik ketika ibunya dalam perjalanan menghantarnya ke pusat peperiksaan di SMK Kijal menjawab kertas Matematik Tambahan 1 di bilik calon kuarantin sekolahnya pada jam 8 pagi Khamis.

Anak kedua daripada tiga beradik itu yang kelihatan masih trauma sempat berehat seketika sebelum menduduki kertas Matematik Tambahan 2 pula pada jam 2 hingga 4.30 petang.

Kedua-dua kertas peperiksaan subjek berkenaan diketahui umum sebagai antara subjek yang sukar namun Nuryn Elmira Farhana tabah mendudukinya sehingga tamat masa yang diberikan.

Mangsa yang juga pelajar SPM harapan sekolahnya menjawab peperiksaan di bilik calon kuarantin ekoran keadaan faktor kesihatan dirinya yang belum pulih dari kecederaan.

Kemalangan kira-kira jam 7.05 pagi Rabu di Klometer 132 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu di Kampung Meraga Beris menyebabkan Nuryn Elmira mengalami kecederaan di bahu kanan dan pergelangan tangan kanan.

Bagaimanapun kecederaan itu tidak menjejaskannya untuk menjawab kertas soalan kerana dia menulis dengan tangan kiri.

Nuryn Elmira Farhana berjaya menjawab dua kertas peperiksaan iaitu kertas Prinsip Perakaunan 1 dan 2 masing-masing pada jam 8 dan 10 pagi di bilik khas di Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

Selepas ini mangsa dijangka menduduki beberapa lagi kertas peperiksaan sehingga kertas terakhir pada 30 November depan.

Kemalangan tragik yang berlaku turut mengakibatkan adiknya, Nuryn Eliesa Farhana, 12, yang juga calon harapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK)Bukit Anak Dara mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan terpaksa dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang selepas menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

Insiden menimpa tiga beranak itu terjadi selepas kereta Proton Waja yang dinaiki mereka yang baharu keluar simpang dirempuh oleh van Toyota Hiace milik Aman Palestin Bhd dinaiki dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah Chukai ke Kerteh.

Akibat kejadian itu, staf Aman Palestin Cawangan Kemaman, Mariani Mohd Noor, 27, dan sukarelawan Aman Palestin Pahang, Muhammad Anwar Abdul Rahman, 21, yang memandu van terbabit turut cedera. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Awas! Panggilan Telefon Meragukan

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan