suria

Awas! Panggilan Telefon Meragukan

Foto SIA HONG KIAU/The Star

PETALING JAYA: Jika data anda telah diceroboh, jangan terkejut sekiranya menerima banyak panggilan dan mesej yang tidak dikenali.

Anda akan menerima mesej yang menawarkan hartanah, pinjaman dan kredit untuk kasino dalam talian.

Mungkin anda juga akan menerima panggilan yang menyatakan anda mempunyai hutang berjumlah RM5,000 dengan bank ataupun orang tidak dikenali memberitahu bahawa saudara anda ditahan atas kesalahan dadah.

Pakar teknologi maklumat (IT) berkata, mereka menjangkakan peningkatan panggilan berunsur penipuan dan pemasaran susulan kebocoran data peribadi melibatkan 46.2 juta pengguna telefon bimbit.

Pangkalan data itu dipercayai telah diceroboh pada 2014 dan kini tersedia dengan mudah dalam talian selepas seseorang cuba menjual data itu menerusi forum berita teknologi lowyat.net, bulan lalu.

Sehubungan itu, pakar IT menggesa agar rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau mesej yang meragukan.

Pakar sekuriti siber, C.F. Fong, menggesa orang awam untuk mengelakkan komunikasi seumpama itu dan sentiasa memeriksa informasi dengan sumber berkaitan seperti bank atau polis.

"Jika berlaku sesuatu yang penting, pihak bank akan menghantar surat atau pihak polis akan datang ke rumah anda.

"Kebocoran data bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara sebegini sudah kerap berlaku, sebab itulah kita sering terima panggilan daripada ejen hartanah dan ceti haram.

"Banyak informasi kita berada dalam talian. Jika anda mempunyai media sosial, anda sebenarnya memberi informasi peribadi anda secara sukarela," ujar Fong, pengasas firma siber sekuriti Malaysia, LGMS.

Ketua pembangunan perniagaan IBM Security Asia Pasific, Nigel Tan berkata, penjenayah mempunyai akses terhadap data yang bocor dan boleh menggunakannya untuk mencuri identiti seseorang.

Ujarnya, ia termasuk mengambil alih akaun emel seseorang dan mendapatkan akses aplikasi appstore dan bank dalam sesebuah telefon pintar.

Pegawai eksekutif dan pengasas bersama Macrokiosk, Datuk Kenny Goh turut menggesa orang ramai supaya tidak panik.

"Mungkin akan ada panggilan atau mesej yang pelik. Tidak kisah sekiranya data anda diceroboh atau tidak, elakkannya jika terima panggilan dari nombor yang pelik atau dari individu tidak dikenali.

"Jika ada mesej atau panggilan yang menjual dan mempromosi barang, laporkan sahaja kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Amah Filipina? Tunggu Dulu...

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan