GAMBAR swafoto yang anda kongsi di Facebook dan Instagram berdepan risiko dicuri pihak tidak bertanggungjawab untuk mempromosikan perkhidmatan seks di media sosial. Akaun Twitter pornografi menggunakan gambar pengguna media sosial untuk mencari pelanggan bagi mempromosikan kegiatan haram mereka bermula dari tawaran video seks sehinggalah khidmat pelacuran. Tweet ini dihantar bersama dengan swafoto wanita yang dicuri seolah-olah menggambarkan mereka sebagai pelacur yang sedia untuk ditempah. Ada diantara 'mangsa' bergambar bersama pakaian kerja mereka. Gambar-gambar ini kebanyakannya diambil di bilik tidur, tandas, kereta dan juga tempat kerja 'mangsa'. Salah satu gambar memaparkan seorang pelajar bawah umur ketika berada di dalam kelas, memakai pakaian seragam sekolah dengan lencana sekolahnya turut dipaparkan. Tinjauan The Star mendapati sekurang-kurangnya empat wanita yang menjadi 'mangsa' aktif di media sosial. Mereka sering berkongsi gambar peribadi untuk tatapan ramai di Facebook dan Instagram. Dua daripada mereka berkhidmat sebagai guru. The Star menghubungi akaun Twitter pornografi yang berpangkalan di Shah Alam dengan menyamar sebagai salah seorang pelanggan. "Ya mereka semua gadis saya. Hantar wang kepada saya dan saya akan aturkan segalanya," balas pengendali akaun tersebut. Pengendali yang tidak dikenali itu memberi arahan supaya memindah wang sebanyak RM300 ke dalam sebuah akaun bank. Malah, pelanggan tidak dibenarkan membuat bayaran di lokasi yang ditetapkan. Beberapa pengguna Twitter turut mendakwa bahawa akaun pornografi tersebut diwujudkan untuk tujuan penipuan. Dua pengguna mendakwa pengendali akaun tersebut tidak memberi maklum balas selepas bayaran penuh dipindahkan ke akaun yang dinyatakan. Usaha untuk menghubungi pengguna yang terpedaya gagal kerana panggilan tidak dijawab. Kegiatan tersebut bukan perkara baharu di Malaysia. Namun kecurian gambar menandakan trend jenayah siber membimbangkan yang melibatkan kegiatan penipuan, pelacuran dan fitnah, kata aktivis hak digital,Tan Sze Ming. "Penipuan dan pelacuran adalah jenayah utama di sini. Bagi foto yang dicuri, mangsa hanya boleh membawanya sebagai kes fitnah, walaupun tidak semua mangsa mampu membayar yuran guaman. "Ramai tidak menyedari bahawa perkara yang mereka muatnaik secara dalam talian boleh digunakan secara bebas oleh pihak ketiga untuk sebarang tujuan," katanya. Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menasihati orang ramai supaya tidak terlalu terbuka berkongsi gambar mereka di media sosial. CyberSecurity Malaysia (CSM) turut menerima 17 laporan setakat 31 Julai lalu dari pengguna media sosial yang mendakwa gambar mereka digunakan untuk mendapatkan pelanggan bagi khidmat seks. Mangsa yang mendapati gambar mereka disalahguna boleh membuat laporan kepada SKMM atau pusat bantuan Cyber999 CSM di https://www.mycert.org.my.