suria

‘Selepas 9 Tahun, Akhirnya Dia Merasa Pakai Kasut’

Khairul (tengah) bersama abang dan adiknya. -foto Mohd Fadli Salleh

PETALING JAYA: Anak kecil ini sentiasa menghitung hari dan teruja apabila peluang untuk bersekolah buat kali pertama semakin hampir.

Kisah dirinya yang ‘curi-curi’ masuk ke sebuah sekolah untuk merasai pengalaman belajar tular baru-baru ini, namun tiada siapa tahu mengapa dia hanya berselipar sedangkan dia berpakaian sekolah ketika itu.

ARTIKEL BERKAITAN

Tanda tanya itu akhirnya terjawab semasa Muhammad Khairul Nizam Azman, 9, hadir ke Akademi I-Sina di Gombak pada Jumaat lalu untuk saringan awal sebelum kelas bermula pada 27 November depan.

Azman (dua, kanan) bersama tiga anaknya, Asmadi (kanan), Khairul (dua, kiri) dan Shahadah (kiri) bersama sumbangan beg dan kasut sekolah. -foto Mohd Fadli Salleh/Sharifah Sharina Syed Aswad

Perasaan gembira terpancar di wajah Khairul semasa menerima sumbangan sepasang kasut sekolah dan ia mengundang sebak bapanya, Azman Ahmad, 42.

"Itu adalah kasut pertama bagi Khairul. Selama ini saya tidak pernah belikannya walaupun sepasang kerana pendapatan saya yang tidak menentu/

"Sebab tu semasa Khairul 'curi-curi' masuk ke sekolah, dia hanya berselipar. Baju sekolah lusuh yang dipakainya pula disedekah jiran," katanya kepada mStar Online.

Sumbangan kasut sekolah buat tiga beradik. -foto Sharifah Sharina Syed Aswad

Walaupun Khairul pernah beberapa kali meminta untuk dibelikan kasut terutama menjelang Hari Raya, tapi Azman bersyukur anak kedua daripada tiga beradik itu memahami keadaannya yang tidak berkemampuan.

Sekembalinya ke rumah pada Jumaat lalu, kasut baharu tersebut tidak lekang dari tangan Khairul sehingga dibawa ke bilik tidur.

"Dia seronok sangat, asyik pakai kasut tu di rumah. Sampaikan tak tidur lena, peluk saja kasut tu takut diambil orang.

"Saya gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan bantuan untuk anak-anak saya," kata Azman yang tidak mempunyai kerja tetap.

Minggu lalu, mStar Online melaporkan Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia (Projek Iqra’) menawarkan bantuan untuk memberi peluang pembelajaran kepada Khairul, abangnya, Muhammad Asmadi, 10, dan adik perempuannya, Nur Shahadah, 6, di Akademi I-Sina sementara menunggu peluang belajar di sekolah kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Sementara itu, Naib Pengerusi Projek Iqra’, Sharifah Sharina Syed Aswad berkata, selain Khairul, kasut sekolah turut diterima abang dan adiknya, sumbangan Yayasan Amal Mahabbah.

"Ketiga-tiga beradik ini juga menerima beg sekolah sumbangan sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas," katanya.

Khairul sedang menjalani saringan awal bersama Sharifah Sharina di Akademi I-Sina. -foto Mohd Fadli Salleh/Sharifah Sharina Syed Aswad

Mengenai saringan awal, Sharifah Sharina mendapati kesemua mereka tidak mengenal huruf dan nombor, maka perlu menduduki program intensif membaca dan menulis dari 27 November sehingga 22 Disember depan.

Akademi I-Sina di Gombak terletak kira-kira 200 meter dari sekolah di mana Khairul ‘curi-curi’ masuk untuk merasai pengalaman belajar.

kasut, keluarga susah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain