suria

“Kali Terakhir Jumpa Bulan Lepas”

SUNGAI PETANI: Anggota keluarga lelaki yang melemaskan tiga anak kecilnya dan kemudian menggantung diri selepas itu berasa tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan memberikan tanda hormat terakhir di rumah sewa mangsa di Perdana Heights di sini pada Selasa.

K. Sivarau, 48, ditemukan tergantung di bilik tidur pada pukul 2 petang pada Isnin.

Dua anak lelakinya, S. Sashvin Rau, 6; dan S. Raghu Ram Rau, 5; serta anak perempuannya S. Yakima Sri, 8; turut ditemukan maut di bilik yang sama dan dipercayai meninggal dunia selepas dilemaskan menggunakan bantal.

Adik bongsu Sivarau, K. Loagansrau, 38, berkata, dia tidak percaya bahawa abangnya mempunyai masalah kewangan jika melihat kepada keadaan rumah sewa mereka yang selesa.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah sebulan lalu di rumah kakak saya dan dia nampak normal sahaja.

"Tapi, saya tidak tahu sama ada dia ada membuat apa-apa pinjaman," katanya ketika ditemui The Star pada majlis pengebumian pada Selasa.

Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alathrash Wahid berkata dalam satu kenyataan: "Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian lelaki tersebut adalah disebabkan kesan jerutan pada leher.

"Punca kematian tiga kanak-kanak itu pula masih menunggu analisis makmal yang belum diperolehi.

"Dipercayai muka mereka ditekup menggunakan objek lembut seperti bantal," katanya.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Upacara pengebumian dan keagamaan untuk empat beranak itu bermula pukul 11 pagi dan mayat mereka akan ditanam di tanah perkuburan Kuil Sri Subramaniam di Jalan Badlishah di sini.

maut empat beranak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain