suria

Suami Dipenjara Pukul Isteri Tak Jawab Telefon

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang suami terpaksa merengkok di penjara selama tujuh bulan kerana menampar, menumbuk, mencekik leher dan menendang isterinya gara-gara wanita itu tidak menjawab panggilan telefonnya.

Majistret Haslinda A.Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Ng Boon Meng, 43, yang tidak bekerja, selepas tertuduh mengaku bersalah  dengan sengaja mendatangkan cedera kepada Tan Suh Huai, 41, seorang eksekutif pentadbiran di sebuah agensi pelancongan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Taman Pandan Indah, Pandan Indah, di sini pada 1.30 tengah hari, 10 Ogos lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM4,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan Ng menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 11 Ogos lepas.

Mengikut fakta kes, pada 10 Ogos, pukul 1.30 tengah hari, tertuduh telah pulang ke rumah dan memarahi isterinya kerana tidak menjawab panggilan telefon pada pukul 8.15 pagi hari sama dan mangsa memberitahu dia tidak menyedari panggilan itu kerana  berada di sebuah kedai makan  bersama rakan-rakannya.

Tertuduh yang berang dan tidak berpuas hati dengan alasan isterinya kemudian menampar muka mangsa beberapa kali, mencekik leher sehingga merah, menendang kaki, menumbuk perut dan menarik bibir mangsa sehingga berdarah sambil berterusan bertanya kenapa mangsa tidak menjawab panggilannya itu.

Mangsa menangis dan menjerit sebelum berlari ke tingkat atas rumah, memanggil anak lelakinya berusia 17 tahun sebelum kedua-duanya keluar dari rumah dan membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati tertuduh sering kali memukul isterinya setiap kali perselisihan faham berlaku.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia tidak akan mengulangi perbuatan itu dan merayu kepada  mahkamah supaya memberikan peluang kepadanya untuk kembali kepada isteri dan memperbaiki diri.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana sebagai seorang suami, tertuduh seharusnya melayan isteri dengan baik dan sebarang permasalahan rumah tangga patut diselesaikan dengan cara baik bukannya mengambil tindakan di tangan sendiri. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Murninya Hati Kau Bro! - Netizen

Artikel Lain