suria

Dakwaan Ahli Parlimen Tidak Benar - Ceo AirAsia

Aireen Omar

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, menjelaskan dakwaan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, adalah tidak benar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar, dalam satu kenyataan berkata syarikat penerbangan tersebut sentiasa berusaha menawarkan tambang rendah dan ini termasuk bagi perkhidmatan penerbangan laluan Kuala Lumpur-Sandakan.

“Dakwaan penerbangan sehala berharga RM2,000 adalah sama sekali tidak benar kerana tambang purata adalah RM213.

“Malahan semasa musim kemuncak, apabila AirAsia beroperasi dengan faktor muatan 100 peratus, tambang paling tinggi kami adalah kira-kira RM1,180, yang mana masih merupakan yang paling rendah dalam pasaran,” katanya.

Aireen berkata tidak ada sebarang ‘caj tersembunyi' seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen itu kerana penumpang  AirAsia mempunyai pilihan untuk memilih bagaimana mereka mahukan penerbangan dan apa produk yang mereka mahu bayar.

Semua bayaran dan caj dinyatakan dengan jelas di laman web dan aplikasi mudah alih.

"Dalam semangat 'prihatin kepada kebajikan rakyat', kami ingin mempelawa beliau (Ahli Parlimen berkenaan) meneliti semula perbezaan dalam kemudahan dan perkhidmatan antara terminal lapangan terbang di Malaysia dan melihat pandangan dan maklum balas pelanggan.

“Rakyat di Sandakan terpaksa membayar cukai lapangan terbang yang sama seperti penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi perkhidmatan yang jauh lebih rendah,” katanya.

Aireen berkata AirAsia mengamalkan dasar terbuka dan mengalu-alukan mana-mana Ahli Parlimen yang mahu bekerjasama membangunkan lagi dan mengembangkan industri pelancongan.

“Kami juga mempelawa mereka bertemu dengan kami untuk mengadakan dialog membina dan memberikan kami peluang untuk menjelaskan model perniagaan kos rendah kami dan sumbangannya kepada industri,” katanya.-Bernama

AirAsia, Datuk Bung Moktar Radin

Artikel Sebelum

Padah 'Curi-Curi' Rakam Gambar

Artikel Berikut

Artikel Lain