suria

'Abang Limosin' Akhirnya Nikah, Tunggu Kejutan Seterusnya!

Hafiz dan Aina selamat bergelar suami isteri pada Jumaat. Foto Instagram syafiqahaina

PETALING JAYA: Selepas lima tahun menyulam cinta, pemuda yang sering membuat kejutan demi kejutan kepada buah hatinya akhirnya disatukan sebagai suami isteri pada Jumaat.

Pemuda yang baru berumur 24 tahun ini menjadi sebutan netizen apabila membuat kejutan pada hari ulang tahun tunangnya dengan menyewa sebuah limosin putih pada 2016 dan menghadiahkan kereta honda Merah sebagai hadiah pada tahun ini.

Hafiz menjadi sebutan netizen kerana membuat kejutan untuk buah hatinya.

Episod cinta pasangan Hafiz Mahamad dan Nursyafiqah Aina Abdul Wahab, 23, akhirnya disempurnakan dengan sekali lafaz, berwalikan bapa pengantin perempuan, Abdul Wahab Abd Jamal di Johor Bahru.

Pada majlis pernikahan itu, Hafiz menyerahkan wang hantaran RM15,000 berserta tujuh dulang hantaran dibalas dengan tujuh dulang daripada pengantin perempuan.

Hafiz dan Nursyafiqah kelihatan berseri-seri dalam persalinan rona putih pada majlis yang dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.

Hafiz bergelar suami dengan sekali lafaz. Foto instagram syafiqahaina

Bercakap kepada mStar Online berkata, Hafiz berkata, hari pernikahan tersebut merupakan momen paling bersejarah sejak berkenalan dengan Nursyafiqah atau lebih dikenali sebagai Aina.

Katanya, majlis persandingan mereka bertemakan Inggeris akan berlangsung pada Sabtu.

“Alhamdulillah, kami disatukan sebagai pasangan suami isteri. Hari ini (Sabtu) merupakan hari yang dinantikan-nantikan Aina iaitu impian majlis perkahwinannya,” katanya.

Bagaimanapun kata usahawan ini, kejutan demi kejutan bakal berlaku termasuk semasa majlis persandingan pada Sabtu namun memilih untuk merahsiakannya sehingga tiba waktunya.

Sejak kisah Hafiz dan Aina tular di media sosial, majlis perkahwinan mereka dinanti-nantikan netizen, terutama dengan kemunculan video pra-perkahwinan mereka baru-baru ini yang kelihatan seperti video iklan komersial.

Malah segelintir netizen menggambarkannya majlis perkahwinan pasangan tersebut sebagai ‘Wedding of The Year’.

Gambar pra-perkahwinan Hafiz dan Aina. Foto instagram syafiqahaina

Bagaimanapun Hafiz meminta netizen tidak memberi gambaran tersebut kerana dia tidak mahu majlis perkahwinannya dibandingkan dengan pasangan lain.

“Majlis perkahwinan bukan satu pertandingan untuk dibanding-bandingkan dengan orang lain, sebaliknya ia adalah hadiah untuk setiap pasangan ke fasa hidup bersama. Doakan yang baik-baik buat kami,” katanya yang merancang untuk berbulan madu di New Zealand pada awal tahun depan.

Selain limosin dan hadiah kereta, Hafiz pernah membuat kejutan membawa ibu bapanya serta Aina menaiki kapal mewah di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

limosin, kapal mewah, Hafiz Mahamad

Artikel Berikut

Artikel Lain