suria

BR1M Bantu Jutaan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengagihkan baucar kepada sebahagian penerima BR1M di Pekan, Pahang.

PETALING JAYA: Pendapatan bulanan Zaimi Sabtu sekadar cukup untuk perbelanjaan keluarga sahaja.

Dia yang bekerja sebagai kerani untuk sebuah syarikat swasta, memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 setiap bulan.

Menjelang pertengahan bulan, dia sekeluarga pasti mengalami masalah kewangan.

Kadang kala, isterinya, Noor Zuriaty Rani akan melakukan kerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan tiga anak mereka yang masih bersekolah.

"Keperluan asas pun mahal sekarang. Sesetengah barang pun banyak yang naik harga kerana beberapa faktor.

"Pada 2012, situasi keluarga kami semakin baik. Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan, dapatlah duit tambahan untuk membeli barang dapur dan barang keperluan lain," ujar Zaimi.

Zaimi Sabtu

Pada tahun berkenaan, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan menerusi wang tunai yang diedarkan kepada semua rakyat negara ini yang layak.

Semua isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM3,000 layak untuk menerima BR1M berjumlah RM500.

Menurut laporan, seramai 4.2 juta rakyat mendapat manfaat daripada BR1M pada 2012 dengan bantuan berjumlah RM2.1 bilion.

Tahun berikutnya, BR1M 2.0 diperkenal dan turut diperluas kepada golongan bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan RM2,000 ke bawah.

Golongan itu mendapat BR1M berjumlah RM250.

Pengagihan ini melibatkan RM2.9 bilion wang kerajaan untuk 6.8 juta penerima.

Menerusi BR1M 3.0, tujuh juta rakyat Malaysia dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan.

Pembayaran untuk keluarga dengan pendapatan bawah RM3,000 dinaikkan kepada RM650 manakala mereka yang berpendapatan RM3,001 dan RM4,000 akan diberikan bantuan berjumlah RM450.

Individu bujang yang berpendapatan RM2,000 sebulan pula diberi bantuan berjumlah RM300.

Pada 2015, jumlah bantuan itu masing-masing dinaikkan kepada RM950 dan RM750.

Golongan bujang juga menerima penambahan RM50 dalam jumlah bantuan mereka.

Skim ini menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk semua penerima.

Pada tahun lalu pula, kerajaan menyemak semula nilai bantuan dan menaikkan jumlah masing-masing kepada RM1,000 dan RM800 manakala golongan bujang menerima RM400 setiap seorang.

Selain itu, satu kategori baharu telah diperkenalkan yang mana mereka yang termasuk dalam pangkalan data e-Kasih akan menerima bantuan berjumlah RM1,050 setiap seorang.

Secara keseluruhan, BR1M 5.0 menyaksikan kerajaan mengagihkan RM5.4 bilion kepada 7.3 juta penerima yang layak.

Bagi BR1M 6.0 tahun ini, isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan diberi bantuan berjumlah RM1,200.

Mereka yang berpendapatan sehingga RM4,000 pula akan diberi RM900.

Selain itu, golongan bujang diberi bantuan berjumlah RM450.

Pengagihan itu melibatkan tujuh juta isi rumah dengan jumlah agihan sebanyak RM6.8 bilion.

Zaimi, 39, merupakan salah seorang penerima yang layak mendapat BR1M.

Dia merupakan antara penerima terawal yang membuat permohonan selepas skim itu diperkenalkan pada 2012.

Sejak itu, dia menerima bantuan tersebut pada setiap tahun.

Ujar Zaimi, dia bersyukur dapat menerima bantuan itu.

"Tanpa BR1M, susah juga saya. Dengan adanya bantuan itu, sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan beban perbelanjaan kami sekeluarga.

"Saya harap bantuan ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia dapat membantu golongan memerlukan seperti saya," kata Zaimi.

BR1M

Artikel Sebelum

Artikel Lain